BERITA UTAMA

Puad sangkal dakwaan Tun M pelantikan Md. Raus ketuai RCI Batu Puteh ada konflik kepentingan

KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak layak bercakap isu konflik kepentingan berhubung pelantikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md. Raus Sharif sebagai Pengerusi Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk mengkaji pengendalian kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Sambil menyifatkan mantan Perdana Menteri itu takut pada bayang-bayang sendiri, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi menegaskan, Md. Raus serta anggota RCI itu telah diperkenan dan menerima watikah pelantikan dari Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, kelmarin.

“Anggota RCI ini telah terima watikah pelantikan dari YDP Agong Sultan Ibrahim, tetapi Tun M bantah. Dia tuduh Pengerusi RCI, Md. Raus ada konflik kepentingan.

“Tun M takut bayang-bayang sendiri. Dia yang ada konflik kepentingan apabila Md. Raus meletak jawatan Ketua Hakim Negara dahulu. Tun M kepanasan.

“Apa kelayakan Tun M bercakap isu konflik kepentingan. Dia orang yang paling banyak diselubungi konflik kepentingan ketika di puncak kuasa,” katanya dalam akaun Facebooknya hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab kenyataan peguam Tun M, Muhammad Rafique Rashid Ali yang menyatakan, bekas Ahli Parlimen Langkawi itu tidak akan menyertai RCI berkenaan jika diterajui Md. Raus.

Beliau dilaporkan berkata, pihaknya tiada pilihan lain kecuali menasihatkan Tun M untuk tidak menyertainya atas alasan Md. Raus mempunyai konflik kepentingan dalam kes berkenaan.

Menurut Mohd Puad, tindakan Tun M ketika menjadi Perdana Menteri ketujuh pada 2018 dengan melantik Datuk Mohd Shukri Abdull yang sudah bersara sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM juga dipertikaikan.

“Begitu juga pelantikan orang politik seperti Latheefa Koya menggantikan Mohd Shukri, pelantikan Richard Malanjun Ketua Hakim Negara menggantikan Md. Raus juga kontroversi.

“Bahkan, pelantikan Tan Sri Abdul Hamid Bador sebagai Ketua Polis Negara secara kontrak juga dipertikaikan.

“Sebab itu bantahan Tun M tidak perlu dilayan. Rakyat mahu tahu kenapa Tun M batal rayuan semakan keputusan Pulau Batu Puteh. Ia amat misteri,” ujarnya.

Mohd Puad turut mempersoalkan kenapa kes Batu Puteh itu tidak dibawa ke Kabinet, sebaliknya dibuat keputusan tergesa-gesa sehingga Peguam Negara ketika itu (Tan Sri Afandi Ali) dipaksa cuti. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *