BERITA UTAMA

Penunggang motosikal maut terperosok bawah kereta

SLIM RIVER – Seorang maut dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta dengan motosikal di Kilometer 379, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, Perak, malam tadi.

Mangsa yang belum dikenali identiti, terperosok bawah kenderaan itu dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak yang menerima panggilan kecemasan pada jam 11.14 malam menghantar anggota BBP Slim River dan jentera ke lokasi kejadian.

Menurut Komander Operasi, PBK II Isma Mohamad Ubaidullah Ahmad Rani, kemalangan itu melibatkan sebuah kenderaan dan sebuah motosikal.

Katanya, terdapat seorang mangsa telah terperosok di bawah kenderaan tersebut.

“Pasukan Bomba bertindak mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan menyelamat, tetapi selepas dikeluarkan, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari KKM.

“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, tujuh kenderaan terlibat dalam kemalangan di Kilometer 214.1 Lebuhraya PLUS pagi ini.

Pasukan BBP Taiping dan BBP Kamunting yang menerima panggilan jam 6.55 pagi telah digerakkan ke lokasi kejadian bersama jentera.

Komander Operasi, PBK II Riduan Sudin melaporkan, kemalangan itu melibatkan tujuh kenderaan iaitu empat lori dan tiga kereta.

Kata beliau, dua mangsa mengalami kecederaan iaitu pemandu lori yang tersepit di ruangan pemandu dan seorang lagi pemandu kereta.

“Anggota bomba bertindak menjalankan operasi penyelamatan bagi mengeluarkan kedua-dua mangsa dengan menggunakan peralatan menyelamat dan menyerahkan mangsa kepada pegawai perubatan daripada KKM bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *