BERITA UTAMA

Penulis Australia enggan rayu tunda hukuman mati di China

SYDNEY – Penulis Australia kelahiran China, Dr. Yang Jun tidak akan merayu untuk menunda hukuman mati terhadapnya oleh mahkamah Beijing.

Keluarga Yang dalam satu kenyataan pada Rabu (21 Feb) mengesahkan perkara itu sambil mengecam sistem keadilan China sebagai ‘tidak berperikemanusiaan’.

Lelaki itu dijatuhkan hukuman mati pada awal bulan ini selepas mahkamah mendapati dia bersalah atas tuduhan ‘pengintipan’ yang tidak jelas, bagaimanapun dinafikan warga Australia itu, lapor AFP.

Hukuman itu bagaimanapun telah ditunda selama dua tahun dan terdapat kemungkinan yang munasabah ia boleh ditukar kepada penjara seumur hidup jika pegawai kerajaan China berpuas hati dengan kelakuan Yang.

Petik HarakahDaily, bapa kepada dua anak itu, yang kesihatannya merosot apabila sista tumbuh pada buah pinggangnya, memberitahu keluarganya dia tidak lagi mempunyai kekuatan untuk melawan tuduhan itu.

“Memulakan rayuan hanya akan menangguhkan kemungkinan rawatan perubatan yang mencukupi dan diawasi, selepas lima tahun rawatan tidak berperikemanusiaan dan pengabaian perubatan yang teruk.

“Keadaan fizikal Yang Jun semakin merosot tidak membenarkannya untuk mengharungi pusingan lanjut sistem perundangan ini,” tambah kenyataan keluarga Yang itu.

Sebaliknya, keluarga Yang berkata mereka akan memberi tumpuan untuk mendapatkan bantuan perubatan segera untuk ‘keadaan buah pinggang serius’ yang dialami Yang ketika ini.

Hukuman terhadap Yang itu telah menyebabkan hubungan Australia-China yang sebelum ini semakin pulih selepas bertahun-tahun bertelagah dan berlaku tindakan balas perdagangan, kini kembali bergolak.

Menteri Luar Australia, Penny Wong dalam satu kenyataan pada Rabu berkata, pihaknya akan terus mendesak untuk kepentingan dan kesejahteraan Yang, dan memberikan bantuan kepadanya.

“Saya mengakui kekuatan yang ditunjukkan oleh keluarga dan rakan Dr Yang sepanjang tempoh ini. Semua rakyat Australia mahu melihat Dr Yang bersatu semula dengan keluarganya.

Yang telah ditahan di China sejak 2019, dituduh mengintip dalam perbicaraan tertutup yang dikecam hebat oleh aktivis hak asasi manusia.

Penulis dan ahli akademik itu, yang juga menggunakan nama pena Yang Hengjun, sebelum ini memberitahu media bahawa beliau diseksa di tapak tahanan rahsia dan khuatir pengakuan paksa boleh digunakan terhadapnya. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *