BERITA UTAMA

Malang jika ‘Beras Madani’ berharga RM30 itu benar

BARU-BARU ini kita dikejutkan dengan pengumuman Ahli Parlimen Bukit Gantang yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal bahawa Beras Putih Tempatan (BPT) dan Beras Putih Import (BPI) akan digantikan dengan beras putih ‘Malaysia Madani’.

Lebih mengejutkan dalam pengumuman itu ialah mengenai harganya yang jauh lebih tinggi daripada harga BPT iaitu RM30 untuk 10 kilogram berbanding RM26 yang ditetapkan sekarang.

Pengumuman asal oleh Syed Abu Hussin itu juga menetapkan ia akan dikuatkuasa bermula dari 19 Februari lalu, yang dilihat jangka masa tidak masuk akal memandangkan perubahan itu tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya kerana ia bakal melibatkan pindaan kepada Akta 522 iaitu Akta Kawalan Padi dan Beras 1994.

Namun, tidak lama kemudian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengeluarkan kenyataan bahawa perkara itu akan dimuktamadkan pada minggu ini.

Anwar dalam beberapa laporan akhbar semasa bercakap kepada wartawan di Seberang Perai dalam satu program berkata, harga baharu beras itu tidak boleh terlalu rendah bagi mengelakkan kerugian kepada peniaga.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu turut mengulas perkara itu dengan mengatakan, perkara itu sebenarnya belum diputuskan lagi. Ia hanya akan diputuskan dalam mesyuarat NACCOL akan datang seperti dinyatakan Anwar.

Saya tidak bercadang untuk mengulas mengenai kecelaruan tindak tanduk penjawat politik dalam kerajaan yang menjaga agensi berkaitan yang seolah ‘tidak ada grup Whatsapp’ sehingga berlaku kesilapan sebegini.

Namun, ia seperti sudah menggambarkan ketidakcekapan ahli politik yang menjadi anggota kerajaan sehingga kejadian seperti ini boleh berlaku.

Apabila pengumuman asal oleh Ahli Parlimen Bukit Gantang itu dibuat, saya telah dihubungi oleh banyak pihak yang terlibat dalam industri ini melahirkan rasa terkejut dengan apa yang diumumkan itu.

Walaupun pengumuman itu boleh dikatakan seperti telah ditarik balik atau ‘ditangguhkan’, namun ia seolah membayangkan memang akan berlaku sebegitu atau paling tidak pun mungkin akan jadi 80 peratus benar.

Antara perkara dibangkitkan pihak yang menjadi pemegang taruh kepada industri akibat pengumuman itu ialah mengenai peratus campuran ‘Beras Madani’ ini yang dijangka diperkenalkan, namun perkara itu tidak dinyatakan dalam pengumuman tersebut.

Sekiranya diperkenalkan, ia harus dinyatakan gred campurannya, contohnya lima peratus beras hancur. Jika tidak akan memberi peluang kepada pengilang atau pemborong untuk menetapkan kampit beras sesuka hati mengikut gred masing-masing.

Tanpa penetapan ini, jika pemborong mungkin membungkus pek 15 peratus atau sehingga 30 peratus beras hancur dan meletakkan label harga RM30 bagi 10 kilogram maka ini tidak menjadi kesalahan kepada mereka dan penguatkuasa tidak boleh mengambil tindakan.

Namun yang lebih utama, sekiranya benar penetapan harga ‘Beras Madani’ ini akan ditetapkan pada harga RM30 maka ia seolah-olah suatu jalan pintas yang diambil oleh kerajaan dalam menangani krisis beras yang sedang dalam berlaku dalam negara kita menyebabkan secara rasminya harga beras akan naik dari RM26 sebelum ini kepada RM30.

Seperti yang kita tahu bahawa krisis ini sebenarnya hanya melibatkan beras import. Sedangkan beras tempatan adalah meliputi 70 peratus daripada penawaran beras dalam negara kita.

Ini bermakna sebarang subsidi yang diberi kepada harga beras hanya melibatkan beras import yang mewakili 30 peratus sahaja daripada penawaran beras keseluruhan.

Sekarang ini pun rakyat sudah mengeluh apabila di banyak tempat sudah lama tidak mendapat bekalan beras tempatan. Walaupun penawaran beras tempatan adalah 70 peratus dari keseluruhan, namun sekarang seolah-olah 90 peratus beras yang ada di pasaran adalah beras import.

Apa sudah jadi? Apa masalah sebenarnya? Adakah kerajaan masih belum dapat menyelesaikan isu kartel yang selama ini membelenggu pesawah dan memberi pengaruh besar kepada rantaian beras negara?

Kerajaan sepatutnya mencari jalan bagaimana untuk mengatasi masalah ini tanpa menaikan harga beras yang menjadi makanan ruji rakyat Malaysia.

Sekiranya apa yang dijangka iaitu pengenalan satu jenis beras sahaja iaitu ‘Beras Madani’ pada harga RM30 bagi 10 kilogram, maka ia sesuatu yang malang bagi rakyat Malaysia yang kini sangat terbeban dengan kenaikan harga barang. – NasionalDaily

Penulis, Bakri Jamaluddin adalah Ahli Parlimen Perikatan Nasional Tangga Batu

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *