BERITA UTAMA

Era Najib dahulu bijak tangani kejatuhan mata wang

APA yang Gabenor Bank Negara sebut itu betul. Kelemahan ringgit hari ini memang banyak disebabkan faktor luaran, tetapi dahulu pun sebenarnya begitu.

Pada 2015 – 2017 ekonomi US sangat kuat. Kadar faedah mereka dinaikkan kali pertama sejak 2006. Bank Pusat US pula buat Quantitative Easing sebanyak USD 3.7 trilion.

Kesannya hampir semua matawang dunia jatuh 10 – 15 peratus berbanding USD.

Ya, itu semua faktor luar. Itu kita tidak boleh kawal. Tetapi, ada faktor dan kaedah dalaman. Ini kita boleh tentukan.

Apa yang kerajaan buat pada 2015 – 2017?

Saya sudah menulis ada dua cara sebelum ini. Sekarang saya terangkan cara selebihnya.

Datuk Seri Najib Tun Razak ketika itu menggunakan prinsip asas yang sama, iaitu kurangkan permintaan dalam negara terhadap dollar dan tingkatkan permintaan terhadap ringgit

Bagaimana?

Pertama, kerajaan arahkan syarikat-syarikat dalam negara terutama GLC untuk jadualkan semula pembayaran luar negara. Ini mengurangkan tekanan kepada ringgit.

Kedua, syarikat-syarikat GLC diminta membawa pulang matawang asing mereka masuk ke dalam negara. Matawang ini ditukarkan kepada ringgit, sekali gus menaikkan nilainya.

Ketiga, GLC-GLC mencairkan (divestment) sebahagian aset-aset di negara asing. Kebanyakan aset-aset ini dibeli ketika ringgit sedang kukuh antara 2010 – 2013.

Disebabkan kadar ringgit yang rendah pada 2015 – 2016, GLC-GLC ini memperoleh keuntungan apabila jualan dalam matawang asing itu ditukar kepada ringgit semula.

Cara ini juga meningkatkan permintaan terhadap ringgit.

Keempat, kerajaan meningkatkan kadar eksport. Apabila ringgit rendah, harga barangan tempatan yang dieksport ke luar negara juga menjadi lebih murah.

Peningkatan nilai eksport menyebabkan permintaan terhadap ringgit juga meningkat apabila bayaran dari luar negara itu ditukar kepada matawang kita.

Pada 2017, perdagangan antarabangsa Malaysia naik 19.4 peratus kepada RM1.774 trilion – kenaikan paling tinggi dalam tempoh 13 tahun.

Kelima, kerajaan menaikkan sektor pelancongan. Apabila ringgit rendah, maka kos pelancong asing ke negara kita juga menjadi lebih murah. Pada 2016, kadar pelancong asing naik empat peratus.

Keenam dan paling penting, kerajaan juga gunakan hubungan luar untuk naikkan semula ekonomi negara. Naikkan pelaburan dan dagangan.

Contohnya, lawatan Raja Saudi pada 2016. Bukan sahaja ketika itu kita mendapat tambahan kuota haji sebanyak 10,000, sebaliknya kita juga mendapat pelaburan sekitar RM40 bilion – sebahagian besarnya di Rapid Pengerang.

Apabila pelaburan asing tinggi, maka permintaan terhadap ringgit juga akan tinggi, sekaligus nilai matawang kita akan naik.

Akhirnya, nilai ringgit meningkat daripada RM4.47/USD pada awal 2016 kepada RM3.86/USD pada suku pertama 2018 – peningkatan 15 peratus.

Itulah formula ekonomi sebenarnya. Yang telah terbukti berjaya. Bukan formula gebang alam bunian hantu raya.

Penulis, Abdul Rahim Hilmi Zakariya, Pekan, Pahang.

Berikut kenyataan Gabenor BNM, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour:

PRESTASI ringgit baru-baru ini telah dipengaruhi oleh faktor-faktor luaran, sama seperti mata wang serantau lain.

Antara faktor tersebut termasuk pelarasan pasaran kepada jangkaan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) yang berubah-ubah, kebimbangan geopolitik dan ketidakpastian berkaitan dengan prospek ekonomi China.

BNM berpandangan, paras ringgit baru-baru ini tidak mencerminkan prospek positif ekonomi Malaysia pada masa akan datang.

Pertumbuhan pada 2024 akan didorong oleh permintaan luaran yang bertambah baik dan perbelanjaan dalam negeri yang kukuh.

Unjuran terkini Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menunjukkan perdagangan global akan meningkat daripada 0.4 peratus pada tahun lepas kepada 3.3 peratus pada tahun ini.

Bagi Malaysia, eksport telah mencatatkan penambahbaikan yang stabil sejak suku keempat tahun 2023, malah, eksport bulan Januari 2024 yang diumumkan baru-baru ini juga positif berkembang sebanyak 8.7 peratus.

Sektor pelancongan telah pulih dengan kukuh dan ketibaan pelancong pada tahun 2024 dijangka mengatasi paras sebelum pandemik iaitu 26 juta.

Momentum pelaburan juga meningkat berikutan pelaksanaan projek-projek yang telah diluluskan dalam sektor swasta dan awam.

Susulan perkembangan positif ini bersama dengan komitmen kerajaan untuk melaksanakan pembaharuan struktur dan jangkaan bahawa kadar faedah akan diturunkan di negara maju, kebanyakan penganalisis membuat jangkaan bahawa ringgit akan menambah nilai pada tahun ini. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *