BERITA UTAMA

Enam pendaki sesat di Gunung Angsi ditemui selamat, seorang cedera

KUALA PILAH – Enam pendaki, termasuk empat wanita yang sesat di Gunung Angsi, dekat sini, semalam ditemui di laluan Ulu Bendul pada jam 12.02 tengah malam tadi.

Ketika ditemui anggota pasukan mencari dan menyelamat (SAR), seorang mangsa mengalami kecederaan di lutut dan diberikan rawatan awal oleh Unit EMRS.

Menurut Komander Operasi Kanan Bomba, Yusry Abdullah Sani, lima pendaki lagi berada dalam keadaan selamat.

Katanya, operasi itu melibatkan anggota bomba, Unit Khas Pasukan STORM, polis dan Malim Gunung Perhutanan.

“Lokasi pencarian meliputi laluan pendakian Bukit Putus, Ulu Bendul serta laluan menurun ke JKIN Extreme Park dan Nusa Intan.

“Semua mangsa akhirnya ditemui kumpulan anggota Unit Khas Pasukan STORM pada jam 12.02 tengah malam melalui laluan Ulu Bendul.

“Salah seorang mangsa mengalami kecederaan di lutut dan telah diberikan perawatan awal oleh anggota Unit EMRS, manakala lima lagi selamat,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Operasi SAR itu melibatkan 27 anggota bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Menanti dan BBP Senawang termasuk anggota Unit Khas Pasukan STORM dan EMRS, 15 anggota polis dan 11 Malim Gunung Perhutanan.

Turut serta dalam operasi itu Renjer Perhutanan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan RELA.

Mengikut maklumat awal, mangsa dikatakan memulakan pendakian pada jam 9 pagi semalam, namun sehingga petang, semua mereka belum pulang ke rumah menyebabkan seorang pengadu memohon bantuan daripada bomba untuk mencari kumpulan itu.

Kata Yusry, berdasarkan penemuan dua kenderaan di kaki Gunung Angsi meyakinkan anggota bomba ia milik mangsa yang masih berada dalam hutan berkenaan.

“Lebih memburukkan keadaan apabila mangsa juga tidak dapat dihubungi melalui talian telefon,” katanya.

Terdahulu, JBPM Negeri Sembilan menerima panggilan mengenai kejadian enam pendaki dikhuatiri sesat di Gunung Angsi, Kuala Pilah pada jam 7.31 malam semalam, sebelum menggerakkan pasukan bomba ke lokasi kejadian.

Semua mangsa berusia 20an dan 30an itu kemudiannya dibenarkan pulang oleh polis dengan menaiki kenderaan mereka dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.50 tengah malam tadi. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *