BERITA UTAMA

Anggota Bomba tumpang kenderaan orang awam ke lokasi kejadian kereta dihempap batu

TENOM (SABAH) – Anggota Bomba dan Penyelamat Tenom terpaksa menumpang kenderaan milik orang awam untuk ke tempat kejadian sebuah kereta dihempap batu di Kampung Kuala Tomani, Mansaam, dekat sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu.

Menurut Komander Operasi, PBK II Gustin Asin, jarak lokasi kejadian ialah 55 kilometer, bagaimanapun jentera bomba tidak dapat meneruskan perjalanan 10 kilometer terakhir ke lokasi.

“Ini disebabkan laluan ke tempat itu tidak berturap dan merupakan laluan lori balak.

“Pasukan Bomba lima anggota kemudiannya telah menaiki kenderaan milik orang awam untuk sampai ke lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut pengadu, sebuah kereta jenis Ford Ranger telah dihempap batu yang jatuh dari atas bukit dan terdapat seorang mangsa telah tersepit dalam kenderaan tersebut.

Pasukan Bomba yang tiba di lokasi telah bertindak menjalankan operasi penyelamatan bagi mengeluarkan mangsa dari kenderaan.

Namun, mangsa yang merupakan seorang lelaki berusia 65 tahun disahkan telah meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan.

Mayat mangsa telah diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *