BERITA UTAMA

Episod 4 – Titi kampung penghubung silaturahim

Episod4: Titi kampung penghubung silaturahim

Seperti kebanyakan penduduk kampung Melayu selepas merdeka, Pak Long membesar di kampung dan tinggal di rumah kayu; rumah sederhana selesa untuk kami sekeluarga berteduh daripada hujan dan panas. Walaupun sederhana rumah yang arwah ayah Pak Long dirikan ada juga ‘sentuhan seni’nya – misalnya ukiran dinding dan tingkap bermotifkan alam dan kisi-kisi yang mesra pengaliran udara. Sayang sekali ukiran dinding yang sarat karya seni ini tidak ada dalam simpanan Pak Long.      

Salah satu aspek menarik tentang rumah kayu yang tidak dapat Pak Long lupa (termasuk jamuan bubur kacang pulut) ialah bergotong royong angkat-pindah rumah. Ya, mengusung dan memindahkan rumah ke tapak yang baru bukan peristiwa terpencil dan pelik di zaman Pak Long dulu. Masyarakat Melayu penghuni rumah kayu zaman Pak Long sangat utuh semangat bergotong royong mereka. Bila perlu, rumah pun mereka pindahkan dengan bergotong royong.

***

Hari ini, Selasa 20 Februari 2024 Pak Long telah bina sebuah ‘jambatan’ di parit sisi yang Pak Long manfaatkan sebagai kolam ikan. Parit sisi ini juga Pak Long gunakan untuk menakung atau menyalirkan air mengikut keperluan – jika banjir Pak Long salir airnya (‘buang air’), pada musim kering Pak Long takung dan simpan airnya.

Jambatan (sebenarnya, hanyalah sebuah ‘titi kampung’ untuk menyeberang parit saja) dibina oleh anak-anak muda Kampong Cita Jaya tanpa bantuan peralatan canggih kecuali dengan kudrat tulang empat kerat dan kebolehan ‘menyesuaikan kehendak dan keperluan dengan apa yang ada’ sebagai tukang kayu. Sesuai dengan keadaan yang ada, Pak Long teruja melihat bagaimana papan dan tiang kayu lama serta bahan-bahan buangan yang ada dalam stor Pak Long telah mereka manfaatkan sepenuhnya.

Apa yang menarik di sini bukanlah aspek pembinaan mengikut spesifikasi Pak Long sebagai ‘pemilik projek’ tetapi kesungguhan, buah fikiran, ikhtiar dan kudrat mereka sebagai tukang kayu. Semua ini mereka laksanakan dengan ‘kudrat mentah’ semata-mata. Misalnya tak ada sebarang peralatan khas untuk memasang cerucuk, satu kerja yang memang mencabar.

Akhir sekali – dan ini tidak kurang pentingnya – ialah jambatan silatulrahim yang dibina melalui pembinaan titi seperti yang Pak Long ceritakan di atas terlalu mahal dan besar maknanya dalam kehidupan kita semua.

 

PakLongEpisod4:Tukang Kayu Sebagai Seniman 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *