BERITA UTAMA

100 murid, pelajar anak nelayan terima sumbangan LKIM – Petronas

MELAKA – Seramai 100 murid dan pelajar anak nelayan bawah seliaan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Melaka Barat menerima sumbangan persekolahan daripada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) – Petronas.

Bantuan sumbangan LKIM-Petronas-Yayasan Nelayan Malaysia (Yanem) itu disampaikan Pengerusi LKIM, Faiz Fadzil dalam Program Madani Anak Nelayan Kembali ke Sekolah di sini, semalam.

Menurut Faiz, setiap mereka menerima sebanyak RM150 dalam bentuk beg sekolah Petronas, peralatan tulis dan baucar pakaian.

“Pagi ini saya menyantuni 100 murid dan pelajar yang merupakan anak nelayan bawah seliaan PNK Melaka Barat dalam Program Madani Anak Nelayan Kembali ke Sekolah.

“Program ini adalah kolaborasi LKIM-Petronas-Yanem melalui sumbangan Petronas RM60,000 dan Yanem RM50,000. Setiap  mereka menerima sumbangan sebanyak RM150 dalam bentuk beg sekolah Petronas, peralatan tulis dan baucar pakaian,” katanya dalam Facebooknya semalam.

Kata Faiz, program itu bukan sahaja untuk membela kebajikan nelayan, tetapi sebagai dorongan kepada mereka mempersiapkan diri dengan ilmu.

“Kita mahu mereka menjadikan Petronas sebagai sumber inspirasi untuk melakukan evolusi kepada industri perikanan.

“Selain itu, yang pentingnya bagi mencapai objektif memajukan sektor perikanan dan meningkatkan taraf sosio-ekonomi nelayan dan pembangunan modal insan di kalangan mereka termasuk generasi muda.

“Saya gembira melihat anak nelayan ini ceria dan bersemangat. Saya doakan kejayaan semua mereka dalam pelajaran. Kepedulian LKIM dan kerajaan perpaduan berasaskan agenda Malaysia Madani kepada golongan nelayan terus disuburkan,” katanya. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *