BERITA UTAMA

Tun M jalani proses pemulihan di IJN

KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad kini masih dirawat di Institut Jantung Negara (IJN).

Astro AWANI melaporkan jurucakap kepada bekas Perdana Menteri itu sebagai berkata, ketika ini, Dr. Mahathir masih menjalani proses pemulihan akibat jangkitan.

Beliau turut berkongsi gambar terkini Dr. Mahathir yang dilihat sedang membaca akhbar.

Bagaimanapun, jurucakap itu berkata, tidak dapat dipastikan bila Dr. Mahathir akan dibenarkan discaj, sehingga pihak IJN berpuas hati dengan tahap pemulihan beliau.

“Saya tidak boleh beritahu bila Dr. Mahathir dibenarkan keluar, buat masa ini kecuali IJN puas hati dengan tahap pemulihan beliau,” katanya menerusi pesanan ringkas WhatsApp pada Selasa.

Astro AWANI pada Isnin melaporkan gambar yang sedang tular di pelbagai platform media sosial, berkaitan kesihatan terkini Dr. Mahathir adalah palsu.

Pihak IJN akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung tahap kesihatan bekas Ahli Parlimen Langkawi itu dalam masa terdekat.

Dr. Mahathir yang akan mencecah usia 99 tahun pada 10 Julai ini dimasukkan ke IJN pada 26 Januari lalu. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *