BERITA UTAMA

Penumpang mengamuk pecah pintu tandas, tumbuk kru kabin pesawat

BANGKOK – Seorang penumpang bertindak mencederakan kru kabin selepas memecahkan pintu tandas sebuah pesawat.

Insiden tersebut berlaku ketika penerbangan Thai Airways dari Bangkok ke London pada 7 Februari lalu.

Menerusi rakaman video, lelaki berusia 35 tahun itu dilihat menumbuk muka seorang pramugari sehingga terjatuh ke lantai.

Terkejut dengan tindakan itu, beberapa penumpang lain turut campur tangan dan berjaya mengikat tangannya.

Insiden cemas itu dirakamkan oleh seorang penumpang wanita, yang kemudian menularkan video berkenaan di media sosial.

“Dia berada dalam tandas dan menjerit. Dia kemudian mula memecahkan pintu tandas itu.

“Seorang penumpang berbaju putih cuba membawanya keluar. Suasana mulai kecoh apabila timbulnya pergaduhan. Lelaki itu kemudian bertindak memukul pramugari dan saya rasa mangsa mengalami patah hidung.

“Kami terpaksa bersabar dengan tingkah lakunya. Orang ramai terpaksa bertukar tempat duduk dan memindahkan kanak-kanak ke bahagian belakang pesawat,” katanya seperti dilapor NDTV.

Ketika kekecohan itu, penumpang diberi amaran bahawa penerbangan mungkin perlu melencong ke Dubai sekiranya lelaki berkenaan tidak bertenang.

Namun, penerbangan itu akhirnya selamat tiba ke destinasinya selepas keadaan terkawal.

Sebaik sahaja pesawat berkenaan mendarat di lapangan terbang Heathrow, London, lelaki berkenaan segera ditahan polis.

Dia kemudian didakwa atas tuduhan mencederakan dan membahayakan keselamatan penumpang. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *