BERITA UTAMA

Kerajaan tidak pernah kompromi soal kebebasan media – Fahmi

KUALA LUMPUR – Kali terakhir kod etika untuk wartawan digubal pada tahun 1989, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, ini bermakna akta sedia ada tidak merangkumi aspek laporan dalam talian.

“Selepas 35 tahun menggunakan kod etika lama, hari ini saya melancarkan Kod Etika Wartawan Malaysia yang baharu.

“Saya tidak pernah kompromi soal kebebasan media. Itu hak dan kebebasan yang wajib diberi kepada media dalam sebuah negara demokrasi.

“Sebab itu, dalam merangka Kod Etika Wartawan Malaysia yang baharu ini, saya memanggil wakil wartawan serta organisasi media untuk turut serta,” katanya di sini, hari ini.

Kod Etika Wartawan adalah dokumen rasmi yang menjadi punca kuasa bagi tujuan pengeluaran serta pembatalan kad perakuan media.

Lapan etika kewartawanan digariskan selepas meneliti yang sedia ada iaitu wartawan bertanggungjawab menjadi suara masyarakat majmuk serta ejen pemudah cara dialog, wartawan hendaklah telus dan berintegriti ketika menjalankan tugas.

Wartawan juga digalakkan berusaha secara konsisten untuk berlaku adil dalam menyampaikan informasi, pemberitaan tidak boleh dipengaruhi kepentingan peribadi, kesahihan dan ketepatan maklumat perlu disemak.

Di samping itu, wartawan perlu menghormati privasi dan kerahsiaan sumber, selain perlu memahami undang-undang, akta dan polisi berkaitan dengan ruang lingkup tugas mereka serta perlu memberikan keutamaan untuk meningkatkan kemahiran kewartawanan secara berterusan.

Dalam pada itu, Fahmi membandingkan etika kewartawanan beberapa negara di Asia seperti Singapura, India, Indonesia, Thailand, Jepun dan Korea Selatan untuk memastikan pilihan solusi terbaik.

“Saya yakin melalui kod etika baharu ini, kita mampu mengangkat kualiti kewartawanan di Malaysia sekali gus meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap media,” katanya. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *