BERITA UTAMA

Formula ABCDE bakal kuatkan UMNO/BN – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR – UMNO dan Barisan Nasional (BN) bakal melaksanakan formula ABCDE yang dilihat mampu memberi kemenangan kepada parti itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kemenangan itu akan memihak kepada BN jika seluruh ahli dan jentera mengamalkan formula berkenaan.

Katanya, lima formula itu akan memastikan ahli dan parti sentiasa dalam keadaan kesiapsiagaan yang tinggi.

“Formula itu ialah Aktiviti (A) iaitu kita kena banyak mengadakan aktiviti di semua bahagian. Kedua, Bersepadu (B) antara lima peringkat iaitu Bahagian, Wanita, Pemuda, Puteri dan Veteran UMNO.

“Ketiga, Calon (C) iaitu perlu melihat calon terbaik dan yang sesuai dengan tempat bertanding supaya sentiasa dilihat bersama rakyat,” katanya dipetik UMNO Online.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian menjelaskan, formula keempat, Data (D), iaitu parti perlu ada data penyokong, pengundi, anak lepasan sekolah serta atas pagar.

Katanya, terakhir ialah Emosi (E) iaitu perlu menjaga emosi rakyat supaya mereka suka dan menganggap UMNO boleh diharapkan.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Pontian berharap, parti terus kekal mempertahankan kerusi dimenangi dan menambah lagi kawasan yang dipertandingkan. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *