BERITA UTAMA

Rafizi selesai jalani pembedahan tulang belakang

KUALA LUMPUR – Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli selesai melalui proses pembedahan tulang belakang dan akan menjalani rawatan di hospital bagi tempoh dua minggu lagi sebelum kembali bertugas bulan depan.

Berkongsi mengenai perkembangan kesihatannya di laman X hari ini, Rafizi berkata, sebelum itu beliau disahkan mempunyai masalah stenosis iaitu kewujudan tekanan dari slipped disc dan ligamen yang memegang tulang belakang sehingga ruang saraf mengecil dan ditekan berpanjangan.

“Alhamdulillah, pembedahan untuk memotong sebahagian ligamen dan slipped disc (untuk membuka ruang kepada saraf) berjalan baik dan saya telah boleh berjalan semula,” kata beliau yang mengucapkan terima kasih kepada kumpulan pakar merawatnya.

“Terima kasih kepada yang menghantar mesej. Saya selalunya tidak berkongsi mengenai perkara yang saya kira peribadi seperti masalah kesihatan, tetapi saya juga tahu ada kawan-kawan yang bimbang.

“Lebih baik saya berkongsi sedikit sebanyak supaya dapat disampaikan kepada mereka yang ambil tahu,” katanya.

Pagi tadi, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memuatnaik posting menziarahi Rafizi di sebuah hospital.

Mengulas punca masalah tulang belakang yang dihadapinya, Rafizi berkata, beliau dijangkiti Covid-19 buat kali pertama minggu ketiga bulan ini dan terlantar beberapa hari menyebabkan tekanan ke atas tulang belakang sehingga berlaku slipped disc.

“Keadaannya memuncak selepas beberapa minggu sehinggakan saya tidak lagi boleh berjalan dan terpaksa menggunakan kerusi roda. Sakitnya memang ke langit,” katanya. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *