BERITA UTAMA

Kes bunuh Bella: Mahkamah tetapkan 11 Mac untuk laporan forensik

BATU PAHAT – Mahkamah Majistret hari ini, menetapkan 11 Mac untuk sebutan semula kes pertuduhan terhadap Mohammad Haikal Mahfuz, teman lelaki Mila Sharmila Samsusah, 32, atau Bella yang didakwa membunuh wanita itu, Disember lalu.

Berita Harian melaporkan, Majistret Suhaila Shafi’uddin membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Siti Khalijah Khalid memaklumkan pihaknya belum menerima laporan forensik.

Ketika prosiding itu, Siti Khalijah memaklumkan hanya laporan forensik belum diterima bagi membolehkan pihaknya membuat permohonan izin bagi memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi Muar.

Peguam Mohammad Haikal, Syahril Anuar kemudian mencadangkan tarikh berkenaan kepada mahkamah dan tiada bantahan di pihak pendakwaan mahupun daripada Nur Aminahtul Mardiah Md. Nor selaku peguam pemerhati keluarga Bella.

Pada 24 Januari lalu, bekas posmen itu buat pertama kali didakwa di mahkamah sama atas pertuduhan membunuh wanita itu Disember lalu, namun tiada pengakuan direkodkan.

Mengikut pertuduhan sebelum ini, dia didakwa membunuh Mila Sharmilah, 32, antara Jalan Kelapa Barli, Taman Soga sehingga Jalan Parit Besar, di Kampung Parit Besar dan sebuah rumah terbiar di Lorong Imam Jailani, Tongkang Pechah.

Kejadian itu berlaku pada 11 malam hingga 5 pagi, antara 14 hingga 15 Disember lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau pemenjaraan bagi tempoh tidak kurang 30 tahun atau tidak melebihi 40 tahun, sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati serta sebatan tidak kurang 12 kali.

Kehilangan Bella pada malam 14 Disember lalu, terungkai apabila polis menemui rangka kurang sempurna dalam sebuah rumah sewa di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah, pada pagi Jumaat, 19 Disember lalu.

Penemuan mayat itu susulan penahanan tertuduh sejurus tiba di tanah air daripada menunaikan umrah bersama keluarganya sebelum dipandu arah ke lokasi. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *