BERITA UTAMA

Kertas siasatan Dd Chronicle siap, dirujuk Peguam Negara esok

KUALA LUMPUR – Kertas siasatan ke atas pempengaruh Dd Chronicle telah lengkap dan akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara esok untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kes itu dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Jenayah Bukit Aman yang memanggil Dd Chronicle atau nama sebenarnya Dediy Sulaeman Ra’e untuk merakam keterangan.

Katanya, pempengaruh itu dipanggil ke Bukit Aman pada Khamis lalu untuk soal siasat berhubung video parodinya yang didakwa mempersendakan keputusan Mahkamah Persekutuan membatalkan 16 kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, baru-baru ini.

Menurut beliau, kes itu disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

“Kertas siasatan yang lengkap akan dirujuk kepada Ketua Unit Jenayah Am dan Ketenteraman Awam (KUJAKA), Jabatan Peguam Negara, Putrajaya, esok.

“Sehingga semalam, sebanyak 49 laporan polis diterima di seluruh negara terhadap pempengaruh ini dengan balai di Johor merekodkan 12 laporan.

“Di Pahang kita terima lima laporan, diikuti masing-masing empat di Kuala Lumpur, Melaka, Perak dan Selangor dan masing-masing tiga di Sabah, Kelantan dan Kedah,” katanya.

Beliau berkata, laporan di balai di Negeri Sembilan dan Terengganu masing-masing dua, manakala Perlis, Pulau Pinang dan Sarawak masing-masing satu.

Dd Chronicle, 43, sebelum ini mengundang kemarahan orang ramai apabila didakwa mempersendakan Islam dan menghina mahkamah.

Video parodi terbaharunya dipercayai berkaitan keputusan Mahkamah Persekutuan membatalkan 16 kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, pada 9 Februari lalu. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *