BERITA UTAMA

KDN dapatkan maklumat KPN tiga NGO Islam dalam senarai FBI – Saifuddin

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mendapatkan maklumat tepat dengan Ketua Polis Negara (KPN) berhubung dakwaan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) ada tiga pemimpin NGO Islam di negara ini disenaraikan dalam Terrorist Screening Center atau Pusat Saringan Pengganas (TSC).

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau sudah menghubungi Tan Sri Razarudin Husain supaya menyemak fakta berkenaan.

Katanya, beliau juga baru mengetahui perkara itu dua hari lalu dan akan mendapatkan gambaran tepat mengenainya dari KPN.

“Apa yang kita tahu, FBI membuat permohonan berkaitan perkara itu, jadi kita kena semak dahulu fakta yang tepat.

“Saya tak bersedia beri fakta tangkap muat atau samar-samar,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan majlis perasmian pembukaan Pejabat Pasport Shaftbury di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan tiga pemimpin daripada NGO Islam berasingan dari Malaysia yang aktif dalam menguruskan bantuan ke Asia Barat disenaraikan dalam TSC oleh FBI.

Susulan itu, Kementerian Luar mengarahkan ketiga-tiga individu berkenaan tidak dibabitkan dalam Ops Ihsan yang menguruskan penghantaran bantuan kemanusiaan rakyat Malaysia kepada rakyat Palestin di Gaza.

Pengerusi Sekretariat Ops Ihsan Jismi Johari sebelum ini mengesahkan kesahihan surat pemakluman berkenaan yang diterimanya daripada Kementerian Luar bahagian Asia Barat.

Ops Ihsan diilhamkan bekas Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir sebagai platform kerjasama antara Kementerian Luar dan NGO bagi menggerakkan sokongan dan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.

Bagaimanapun, seorang daripada tiga individu terbabit, bekas Pengurus Besar Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI), Datuk Abu Bakar Abdul terkejut apabila namanya dikaitkan dengan kes berkenaan.

Dakwanya, beliau tidak dapat pemakluman terus, tetapi dapat tahu daripada rakan dan salinan surat yang tular.

“Saya tidak pasti bagaimana nama saya boleh berada dalam senarai berkenaan, sedangkan tidak pernah berurusan dengan mana-mana pihak yang dilabelkan sebagai pengganas,” kata Abu Bakar. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *