BERITA UTAMA

Isu Palestin: Negara umat Islam harus terus didesak

KUALA LUMPUR – Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu menzahirkan rasa sedih melihat saban hari ratusan mayat bayi, kanak-kanak dan wanita Palestin dibunuh oleh regim zionis Israel.

Katanya, beliau juga melihat ramai kalangan umat Islam termasuk sebahagian dari kalangan bukan Islam, mengutuk kezaliman Israel.

“Mereka mengutuk kejahatan Amerika Syarikat (AS) dan Great Britain yang berterusan menyokong Israel membunuh rakyat Palestin dengan ganas.

“Mengutuk Israel sama seumpama kita memberitahu bahawa Kuala Lumpur adalah ibu negara Malaysia atau Bangkok itu ibu negara Thailand.

“Semua orang tahu Israel itu jahat dan keganasan mereka disokong oleh kuasa-kuasa Barat,” katanya menerusi Nota Presiden yang dimuatnaik di Facebooknya hari ini.

Mohamad yang lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu berkata, masalah yang berlaku sebenarnya adalah dunia Islam, khasnya negara-negara Arab, kebanyakannya mendiamkan diri terhadap kezaliman dan kekejaman Israel.

“Ini yang pelik,” tegasnya.

Bahkan, kata beliau, ada kalangan negara-negara umat Islam terus berdagang dengan Israel dan membekalkan segala bentuk peralatan ketenteraan termasuk meneruskan kerjasama ekonomi dengan regim yang zalim tersebut.

Sedangkan mereka mengetahui ayat Al Quran: “innamal mukminunna ikhwah, fa ashlihu baina akhawaikum”.

“Tetapi ayat al-Quran yang dibaca ini seolah-olah menjadi penghibur hati di dalam majlis, hanya untuk menunjukkan bahawa umat Islam itu bersatu.

“Jika pun pemimpin negara-negara umat Islam, khasnya Negara-negara Arab, tidak mampu berperang dengan Israel, mereka harus bertindak menyatakan kebencian yang berterusan terhadap kezaliman rejim itu.

“Ini yang berlaku terhadap dunia Islam hari ini. Bahkan, saya melihat gelombang ini bangkit di Eropah. Palestin akan dibebaskan oleh bangsa Eropah kerana mereka begitu mengambil berat soal hak asasi dan kemanusiaan. Tidak seperti di negara-negara umat Islam,” ujar beliau.

Terbaharu berlaku di Kanada dan di negara Eropah lain, di mana Ahli-ahli Parlimen mereka bangkit menyatakan kemarahan terhadap Israel.

“Kita harus sedar, mengutuk kezaliman Israel tidak cukup. Gerakkan pemimpin-pemimpin umat Islam, khususnya negara Arab untuk bangkit segera membebaskan umat Palestin sebagaimana kebangkitan rakyat Eropah,” katanya. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *