BERITA UTAMA

Walkabout BeBAs langkah maju ke arah Malaysia bebas asap – Dr. Dzulkefly

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) menekankan pentingnya kerjasama semua pihak untuk mencipta premis makanan bersih dan selesa serta menggalakkan pematuhan larangan merokok.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, semua pihak berkenaan boleh mengemukakan soalan dan pandangan masing-masing untuk dibawa ke meja perbincangan demi mencapai matlamat bersama.

Kata beliau, Program BeBAs yang berlangsung di Jalan Alor, Bukit Bintang di sini, adalah langkah awal untuk mengubah persepsi dan memperbaiki keadaan premis makanan di negara ini.

“Tujuan program ini adalah untuk menjadikan kawasan berkenaan sebagai contoh terbaik dalam kebersihan dan keselamatan makanan serta menjadi tarikan utama bagi pelancong,” katanya.

Terdahulu, Dr. Dzulkefly melancarkan Program Walkabout Premis Bersih, Bebas Asap (BeBAs) di Bukit Bintang, Kuala Lumpur yang merupakan langkah progresif negara menuju visi Malaysia bebas asap rokok.

Dalam sesi meja bulat yang berlangsung pada jam 5.30 petang semalam, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua wakil peniaga, NGO dan agensi yang terlibat atas sokongan ditunjukkan mereka dalam inisiatif itu.

Sementara itu, pada jam 9 malam tadi, beliau turut serta dalam walkabout untuk meninjau pematuhan premis makanan terhadap standard kebersihan dan larangan merokok.

“Ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan dalam memastikan kesejahteraan rakyat dan mencipta sebuah Malaysia yang lebih sihat untuk generasi akan datang.

“Program BeBAs adalah untuk meningkatkan kesedaran dan pematuhan terhadap kebersihan premis makanan serta menggalakkan amalan gaya hidup sihat.

“Kawasan Jalan Alor, Bukit Bintang iaitu sebuah ikon pelancongan terpilih sebagai lokasi permulaan program ini dengan harapan menjadi contoh kecemerlangan dalam pengurusan kebersihan dan keselamatan makanan,” katanya. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *