BERITA UTAMA

Raghad lapor polis, pertimbang ambil tindakan undang-undang

KUALA LUMPUR – Isteri Tun Abdul Taib Mahmud, Toh Puan Raghad Kurdi Taib membuat laporan polis menyangkal dakwaan bekas Yang di-Pertua Sarawak itu dilarikan dari sebuah pusat perubatan di Kuching, sebelum ini.

Raghad yang menyifatkan dakwaan itu tidak berasas berkata, laporan polis itu juga bagi melindungi privasi dan hak Abdul Taib untuk memilih rawatan perubatan.

“Kami bersedia sepenuhnya untuk bekerjasama dengan polis dalam sebarang siasatan dan akan meneruskan tindakan undang-undang terhadap hospital itu jika perlu.

“Saya mohon orang ramai untuk tidak mengendahkan laporan yang mengelirukan dan menghormati hak Tun Abdul Taib untuk privasi dan keputusan perubatan sewajarnya. Keluarga saya akan tetap teguh dan bersatu dalam masa yang sukar ini.

“Kami memohon doa orang ramai untuk suami saya, Tun Abdul Taib beroleh kesihatan dan kesejahteraan,” katanya dalam satu kenyataan yang dipetik Awani hari ini.

Menjelaskan kemelut yang berlaku, Raghad menafikan Abdul Taib dilarikan dari pusat perubatan itu.

“Doktor yang bertanggungjawab, Dr. Tan Sian Kong memberi kebenaran untuk keluar pada 3 Februari 2024. Saya memaklumkan kepadanya jadual Tun Taib dengan Dr. Rosli di Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL).

“Dr. Sian Kong meluluskan kebenaran keluar melihat (berdasarkan keadaan) beliau (Tun Abdul Taib) boleh melakukan perjalanan. Surat rujukan Dr. Sian Kong kepada CVS Kuala Lumpur membuktikan lagi kesahihan pelepasan dan kemasukan yang dirancang,” katanya.

Raghad menambah, keputusan untuk membawa pulang Abdul Taib adalah berdasarkan persetujuan dan haknya untuk memilih penjagaan terbaiknya.

Menurut beliau, semua dokumen pelepasan yang diperlukan mengikut prosedur hospital telah ditandatangani dan kakitangan hospital berkaitan menyedari kebenaran keluar itu.

“Dalam keselesaan rumahnya sendiri, beliau mempunyai sokongan perubatan 24 jam (termasuk jururawat kakitangan dan lawatan doktor berjadual).

“Ini termasuk peralatan yang diperlukan dan ubat untuk penjagaan dan pemulihan sementara menunggu kemasukan ke CVS Kuala Lumpur di bawah jagaan Dr. Rosli,” jelasnya.

Raghad dalam pada itu mendakwa, rawatan yang tidak bersesuaian dan nasihat perubatan yang tidak konsisten adalah isu serius dan perlu diteliti serta disiasat oleh pihak pusat perubatan terbabit.

“Dakwaan penyingkiran rawatan yang dibuat oleh saya tanpa memberi amaran kepada kakitangan bertugas adalah tidak benar sama sekali.

“Permintaan untuk bantuan dalam mengeluarkan peranti perubatan adalah diabaikan oleh kakitangan hospital walaupun berulang kali meminta bantuan.

“Tuduhan palsu telah menyebabkan tekanan yang tidak perlu dan kekeliruan,” katanya.

Raghad juga menjelaskan, beliau tidak mempunyai niat lain selain memberikan penjagaan dan perlindungan terbaik untuk suaminya.

Mengulas lanjut, Raghad berkata, selaku isteri dan penjaga kepada Abdul Taib, beliau meletakkan kesihatan dan kesejahteraan suaminya itu sebagai keutamaan tertinggi.

“Saya tidak akan pernah melakukan tindakan yang tidak dimaklumkan atau membahayakan pemulihannya (Abdul Taib),” jelasnya.

Pada 7 Februari lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menyifatkan dakwaan bekas Yang di-Pertua Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud diculik dari sebuah hospital swasta di Kuching sebagai ‘mengarut dan tidak masuk akal.’

Sebaliknya, Razarudin berkata, Abdul Taib, 87, telah dibawa pulang dari hospital itu ke kediaman beliau di Demak Jaya dan boleh dilawati oleh anak serta saudara-mara. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *