BERITA UTAMA

Netanyahu tolak desakan adakan pilihan raya awal

BAITULMAQDIS – Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menolak desakan mengadakan pilihan raya lebih awal, yang disuarakan ribuan rakyat berkumpul di Tel Aviv untuk protes anti-kerajaan.

Populariti Netanyahu menjunam dalam tinjauan pendapat sejak tercetusnya perang yang dahsyat di Gaza 7 Oktober lalu, terutama berhubung kegagalan menyelesaikan isu tebusan Israel yang diculik Hamas.

Protes anti-kerajaan menggegarkan negara sepanjang 2023, namun mulai reda ketika perang, tetapi kini kembali memuncak berikutan perang di wilayah itu berterusan dengan kesan buruk terhadap penduduk Israel dan Palestin.

Selain berdepan dengan serangan Hamas, penduduk Israel juga menghadapi serangan pejuang Hizbullah dari Lubnan, dengan serangan semakin ketara sejak kebelakangan ini.

Tunjuk perasaan kali ini di Tel Aviv adalah bagi menggesa pilihan raya baharu, yang tidak dijadualkan sehingga 2026.

Rata-rata penunjuk perasaan berpendapat kerajaan sedia ada sudah diberikan kesempatan, namun merosakkan segala-galanya yang boleh dirosakkan.

“Sekarang adalah masa untuk orang ramai membetulkan semua perkara, semua perkara buruk yang telah anda lakukan,” kata mereka.

Netanyahu, ketika ditanya sama ada akan mengadakan pilihan raya awal sebaik saja perang Gaza berakhir, berkata itu tidak menjadi keutamaan sekarang .

“Perkara terakhir yang kita perlukan sekarang ialah pilihan raya dan berurusan dengan pilihan raya, kerana ia akan memecahbelahkan kita. Kita memerlukan perpaduan sekarang,” katanya. – REUTERS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *