BERITA UTAMA

Mampukah Anwar jadikan Kongres Ekonomi Bumiputera inklusif? – P Ramasamy

KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy mempersoalkan sama ada Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) ketujuh pada 29 Februari hingga 2 Mac ini boleh menjadi inklusif seperti yang dijanjikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam kenyataannya hari ini, beliau mendakwa kongres seumpama itu sebelum ini bukan sahaja bertujuan menguntungkan orang Melayu, iaitu elit politik dan birokrasi, tetapi juga untuk meminggirkan orang bukan Melayu.

“Anwar berkata bahawa KEB akan inklusif, kongres yang akan berusaha untuk mengenal pasti kadar pertumbuhan baru dan membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan agama.

“Wakil bukan Melayu akan dijemput ke kongres itu, nampaknya buat pertama kali dalam sejarah.

“Bolehkah KEB buat pertama kali dalam sejarah negara menetapkan trend untuk memastikan dasar dan langkahnya memberi manfaat kepada semua kumpulan etnik di negara ini. Bolehkah KEB melihat kebangkitan Anwar sebagai negarawan dan bukan sebagai juara kaum?” soal Ramasamy seperti dilaporkan portal MalaysiaKini.

Dia mendakwa, KEB yang lalu telah digunakan untuk merangka dasar dan langkah bagi memberi manfaat kepada orang Melayu semata-mata.

“Pada asasnya, istilah bumiputera mungkin mengelirukan kerana ia hanya merujuk kepada orang Melayu. Adakah KEB akan melihat pengagihan peluang ekonomi dan komersial yang adil kepada semua kumpulan etnik yang layak?

“Anwar tidak boleh menggunakan istilah ‘inklusif’, tetapi tidak membuat perubahan bermakna kepada kandungan KEB. Malah, KEB pada masa lalu untuk meminggirkan orang bukan Melayu dalam bidang ekonomi dan kewangan,” kata Ramasamy.

Ramasamy, yang meninggalkan DAP dan membentuk Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai) yang berteraskan Tamil tahun lepas mendakwa, pertumbuhan ekonomi Melayu adalah bermotif menyekat bukan Melayu dalam bidang ekonomi.

“Memandangkan sokongan Melayu yang semakin merosot kepada kerajaan masa kini, adakah Anwar sanggup mengambil kira penyertaan orang bukan Melayu dalam KEB? Ya, bukan Melayu akan dijemput, tetapi adakah jemputan mereka akan membawa perubahan kepada keputusan perhimpunan itu?

“Adakah Anwar, dengan caranya yang berubah-ubah dan populis, sanggup mengusik ramuan hegemoni Melayu perhimpunan itu? Saya amat ragu bahawa Anwar akan menyumbang dengan cara yang bermakna untuk mengubah watak etnik KEB,” kata Ramasamy.

Ramasamy juga mendakwa bahawa KEB kelihatan seperti pentas perhimpunan yang diuruskan oleh Anwar demi menambah baik reputasi politik UMNO. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *