BERITA UTAMA

Kerana cemburu, suami penggal kepala isteri

UTTAR PRADESH – Kerana terlalu marah, seorang lelaki bertindak memenggal kepala isterinya kerana mengesyaki wanita itu menjalin hubungan sulit dengan individu lain.

Lelaki yang dikenali Anil Kanojia dari Uttar Pradesh, India itu kemudian dilihat selamba berjalan kaki sambil sebelah tangan menjinjing kepala isterinya dan sebelah tangan lagi memegang pisau pemotong.

Video ketika dia sedang berjalan tanpa menghiraukan orang awam, menjadi tular di laman sosial.

Menurut polis, dalam insiden yang berlaku pada pagi Jumaat lalu, Anil dan isterinya, Vandana, 28, dilaporkan bertengkar selepas dia mengesyaki wanita itu curang.

Ia susulan penemuan surat cinta yang didakwa dihantar oleh seorang lelaki kepada mangsa.

Berang kerana dicurangi, lelaki itu menetak isterinya yang dikahwini selama hampir lapan tahun, sebelum memenggal kepala wanita tersebut.

Anil ditahan ketika dia dikatakan berjalan kaki ke balai polis dengan membawa kepala isterinya yang masih berlumuran darah.

Difahamkan, pasangan berkenaan mempunyai dua cahaya mata hasil perkahwinan mereka. – India.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *