BERITA UTAMA

Kerajaan Madani cari penyelesaian tambahbaik skim lindungi seniman – Fahmi

MAN Kadir Samsi merupakan seorang pelawak dan pelakon yang begitu popular menerusi watak Pak Jabit yang dibawanya dalam filem Hantu Kak Limah, Zombi Kampung Pisang dan lain-lain.

Watak-watak yang dimainkan mencerminkan pengalaman sebenar masyarakat dan sentiasa mencuit hati rakyat Malaysia dengan lawak jenaka yang bersahaja.

Namun, di sebalik setiap sinaran dan senyuman, terselit juga kisah pilu yang tidak diceritakan.

Pak Jabit pulang ke Rahmatullah beberapa tahun lalu dan meninggalkan seorang balu, makcik Maharani dan beberapa orang anak.

Makcik Maharani kata, arwah suaminya hanya meninggalkan wang tunai sebanyak RM5,000 sahaja dan segalanya bagai bujuk lepas dari bubu dalam beberapa bulan.

Dahulu masa Pak Jabit masih hidup, beliau menjual cendol di depan rumah bila tak berlakon dengan pendapatan hanya RM30 sehari.

Hakikatnya ramai artis veteran tidak mempunyai simpanan yang mencukupi di penghujung karier, macam Pak Jabit.

Bulan lepas makcik Maharani sekali lagi diuji. Dia jatuh sakit dan batuknya jadi semakin teruk dan kini dia perlu bergantung kepada penumpu oksigen selama 15 jam sehari untuk bernafas.

Dia juga perlu mengambil susu formula khas dengan harga RM100 satu kotak untuk teruskan kehidupan.

Makcik Maharani kini tinggal di Temerloh, Pahang bersama anak lelaki yang menjaganya dengan pendapatan kira-kira RM30 sehari. Dia buat kerja kampung yang kadang-kadang ada, kadang-kadang tak ada. Anak-anak lain semua telah berhijrah dan bekerja di Kuala Lumpur.

Berkat usaha anak-anak, mereka dapat menyewa penumpu oksigen berharga RM350 sebulan dengan RM500 sebagai deposit. Kos tambahan ini sememangnya sukar untuk mereka tanggung setiap bulan. Nak beli mesin kena keluarkan RM4,000 pula. Lagilah tak mampu.

Semasa lawatan rasmi saya di Kuantan tempoh hari, saya terbaca satu laporan berita RTM mengenai makcik Maharani.

Saya sedih kerana ahli keluarga Pak Jabit – antara watak kesukaan saya dalam “Filem Zombie Kampung Pisang” – sedang berada dalam situasi yang amat sukar.

Sebagai Menteri Komunikasi, adalah tanggungjawab saya untuk menjaga kebajikan seluruh rakyat, terutamanya para seniman.

Saya menghubungi RTM untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai keluarga Pak Jabit sekarang. Sebelum saya selesai lawatan rasmi di Kuantan, saya melencong sekejap ke Alpro Pharmacy untuk dapatkan penumpu oksigen dan beberapa kotak susu formula khas untuk makcik Maharani.

Masa saya sampai, saya masih ingat dia memandang saya dengan pelik, “Siapa adik yang melawat saya ni?”

Saya kata, saya kawan Pak Jabit dan juga Menteri Komunikasi. Lepas tu dia tanya pula kenapa ada menteri di rumahnya?

Dia terkejut apabila saya beri penumpu oksigen kepadanya dan bertanya berapa banyak wang yang dia perlu bayar.

Saya jawab tak perlu, ini hadiah untuk makcik. Dia memandang tajam ke arah saya, barangkali kegembiraan tak mampu diluah dengan kata-kata. Tapi saya dapat melihat kegembiraan itu di matanya.

Saya secara peribadi bersama rakan-rakan dalam Kerajaan MADANI sedang berusaha mencari penyelesaian termasuk dengan menambahbaik skim bagi melindungi seniman dan ahli keluarga terdekat mereka.

Mereka telah banyak memberi sumbangan kepada negara dan kebajikan mereka perlu ditingkatkan. – NasionalDaily

Coretan Fahmi ziarah makcik Maharani, isteri arwah Man Kadir

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *