BERITA UTAMA

KEB dari sudut pandang Pak Hassan

SAYA menyambut baik Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB 2024) yang akan diadakan pada 29 Februari hingga 2 Mac 2024.

Walaupun namanya eksklusif menyebut bumiputera, tetapi apabila PM Anwar Ibrahim menjanjikan KEB ini bersifat inklusif kerana perwakilan masyarakat Cina dan India akan dijemput sama, maka saya bersikap baik sangka dan berharap KEB tidak berbincang hal-hal retorik, sebaliknya berbincang perkara substantif untuk kepentingan masyarakat bumiputera dan bukan-bumiputera keseluruhannya.

Saya juga faham dan amat mengerti sokongan masyarakat Melayu dan bumiputera kepada kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim perlu ditingkatkan peratusannya lebih tinggi kerana pilihan raya umum tiga tahun lagi.

Sebelum kita pergi jauh, perlu diperjelaskan tafsiran bumiputera. Apa itu bumiputera? Secara rasminya dalam dokumen Perlembagaan Persekutuan tidak ada tafsiran istilah kaum bumiputera. Yang ada di bawah Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan ialah tafsiran “Melayu” serta “Anak pribumi Sabah dan Sarawak”.

Perkataan bumiputera mula diperkenalkan sejak bermulanya Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada tahun 1971. Istilah bumiputera yang kita fahami terbahagi kepada dua golongan. Pertama, bumiputera Islam (Melayu dan lain-lain) serta bumiputera bukan-Islam.

Apa tujuan KEB dari segi ekonomi, bukan politik yang akan diadakan tidak lama lagi?

Jawapannya tentulah untuk mengangkat prestasi ekonomi bumiputera di negara ini.

Lalu kita bertanya, kita sudah ada DEB, Dasar Pembangunan Negara, Wawasan 2020 dan Wawasan Kemakmuran Bersama, tetapi kenapa ekonomi bumiputera masih jauh tertinggal di belakang berbanding ekonomi bukan-bumiputera?

Kita ingin tahu juga mengapa ekonomi bukan-bumiputera boleh maju, sedangkan kita tidak dengar wujudnya kongres ekonomi bukan-bumiputera. Kita pun tidak nampak adanya agenda ekonomi bukan-bumiputera dalam belanjawan negara.

Malah tidak ada dasar affirmative seperti Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan untuk rakyat bukan-bumiputera. Malahan usahawan bukan-bumiputera sering terpaksa bersaing dengan syarikat GLC Kerajaan.

Hal-hal seperti ini perlu dikaji oleh KEB kali ini untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman dengan wakil-wakil kaum bukan- bumiputera dalam kongres itu nanti.

Pertama, KEB perlu meneliti dengan jujur satu isu yang amat sensitif, tetapi perlu dibincangkan secara ilmiah dan fakta oleh bijak pandai Melayu di kongres itu nanti supaya dapat menjawab satu persoalan iaitu adakah dasar affirmative action yang dipanggil kedudukan istimewa orang Melayu dan anak pribumi Sabah dan Sarawak di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan benar-benar telah menolong ekonomi Bumiputera atau sebaliknya telah dirampas, dimanipulasi oleh segelintir kelas berkuasa elit bumiputera di Semenanjung dan di Sabah serta di Sarawak untuk kayakan diri mereka sendiri, keluarga mereka, sahabat handai dan kapitalis-kapitalis kroni mereka sendiri.

Kedua, adakah sudah sampai masanya KEB yang bersifat inklusif menurut Perdana Menteri Anwar Ibrahim itu membincang dan merumuskan bahawa soal pembangunan ekonomi rakyat tidak wajar diselesaikan dengan dasar berasaskan kaum atau pembahagian belah-bagi bumiputera atau bukan-bumiputera, tetapi berasaskan pembahagian kelas kehidupan rakyat dan keperluan rakyat.

Segelintir kelas atasan yang disebut golongan T10 misalnya, terdiri dari semua kaum, baik bumiputera ataupun bukan-bumiputera. Sesetengah mereka ini golongan terlampau kaya atau ultra-rich dari golongan bilioner atau maha jutawan.

Manakala golongan bawahan B60 adalah kelas bawahan yang terdiri dari semua kaum. Jika dikaji tentang golongan miskin tegar, maka kita dapati terdapat di dalamnya bukan sahaja rakyat miskin bumiputera, tetapi juga ramai rakyat miskin India dan Orang Asli.

Jadi, jika KEB yang akan berlangsung tidak lama lagi mahu secara jujur dan bersungguh-sungguh bersikap inklusif, maka fokus kongres itu nanti perlu tumpu kepada kelas B60 iaitu majoriti rakyat kita yang memerlukan sokongan dan bantuan ekonomi meliputi rakyat bumiputera dan juga bukan-bumiputera.

Golongan rakyat rentas kaum dan agama ini perlukan pekerjaan dengan pendapatan yang tinggi. Mereka perlukan rumah untuk hidup berkeluarga. Mereka perlukan kos sara hidup yang tidak menindas. Mereka perlukan perkhidmatan kesihatan yang baik dan sistem pendidikan berkualiti untuk anak-anak mereka. Di hari tua mereka, maka mereka perlukan jaringan keselamatan kewangan untuk kehidupan bermaruah di usia emas mereka.

Jadi, KEB yang berjaya nanti menghasilkan dasar-dasar keadilan ekonomi untuk semua rakyat tanpa mengira bumiputera atau bukan-bumiputera, tentu sekali pada akhirnya akan menghasilkan keadilan sosial untuk semua.

Keadilan ekonomi dan sosial merentas kaum akan mewujudkan kepercayaan dan keyakinan rakyat bahawa kerajaan sekarang yang dipanggil kerajaan perpaduan dan falsafah Madaninya berada di landasan yang betul mewujudkan satu bangsa Malaysia yang bersatu padu.

Kita berharap KEB pada 29 Februari hingga 2 Mac nanti menjadi KEB yang terakhir. Selepas itu kita masih boleh mengadakan kongres ekonomi seterusnya dengan jenama baru yang dipanggil Kongres Ekonomi Warga Malaysia. Adakah impian ini boleh dicapai? – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *