BERITA UTAMA

Hari ini genap 94 tahun planet Pluto ditemui

SEJAK kecil kita sudah diberikan pendedahan berkaitan ruang angkasa, khususnya dalam mata pelajaran Sains. Umumnya, masih banyak lagi mengenai angkasa atau cakerawala yang perlu diterokai oleh para saintis.

Dalam sistem suria, matahari adalah pusat kepada seluruh planet yang mengorbit dalam jarak dan tempoh tertentu. Terdapat sembilan planet dalam sistem solar bermula dengan Utarid, Zuhrah, Bumi, Marikh, Musytari, Zuhal, Uranus, Neptun dan Pluto.

Bagaimanapun, ramai yang menganggap semua planet adalah sembilan, namun ada yang kata tidak. Kenapa? Kerana ada yang menyatakan Pluto tidak diiktiraf sebagai sebuah planet.

Tetapi tahukah anda, pada hari ini, kira-kira 94 tahun lalu, planet kerdil Pluto ditemui?

Kewujudan planet kesembilan dalam Sistem Suria kita pertama kali dicadangkan oleh ahli astronomi Amerika, Percival Lowell pada 1905.

Lowell membuat perkiraan menganggar kedudukannya, namun tidak berjaya ditemukan hingga beliau meninggal dunia.

Pada tahun 1929, dengan menggunakan formula Lowell & W.H. Pickering, pencarian planet itu diteruskan di Balai Cerap Lowell, Arizona oleh Clyde Tombaugh yang akhirnya berjaya menemukan ‘planet X’ tersebut pada 18 Februari 1930.

Dapatan Tombaugh itu disahkan oleh beberapa ahli astronomi lain dan pada 13 Mac tahun itu, sempena tarikh ulang tahun kelahiran Lowell, penemuan itu dihebahkan kepada khalayak umum.

Ia diberi nama Pluto, sempena dewa alam kematian dalam mitologi Greek yang memiliki kebolehan menghilangkan diri.

Ia berdiameter 2,370 km, kurang 1/5 daripada diameter bumi dan sekitar hanya 2/3 daripada kelebaran bulan kita.

Dengan dilitupi ais metana dan nitrogen, suhu permukaan Pluto dianggar sekitar -387 Fahrenheit (-232 Celcius).

Jaraknya dengan matahari hampir 4 bilion batu dan mengambil masa 248 tahun untuk melengkapkan satu pusingan orbit. Jaraknya dengan bumi pula sekitar 5.28 juta km.

Pluto juga mempunyai orbit paling lonjong dan paling senget berbanding mana-mana planet lain. Pada titik terdekatnya dengan matahari, ia melintas masuk ke bahagian dalam orbit Neptun, planet kelapan.

Pada 1978, James Christy dan Robert Harrington menemukan bulan Pluto, Charon, yang dianggar berdiameter 1,212 km iaitu hampir separuh diameter Pluto. Lantas kedua-duanya dianggap membentuk sistem planet berganda.

Namun, pada Ogos 2006, Kesatuan Astronomikal Antarabangsa mengumumkan bahawa Pluto tidak lagi dianggap sebagai planet kerana definisi baharu yang menetapkan sesebuah planet ‘harus beredar pada orbitnya dengan bebas’.

Kerana orbitnya ia bertindan dengan orbit Neptun, Pluto gugur kelayakan menjadi planet sebenar dan sekadar sebuah ‘planet kerdil’. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *