BERITA UTAMA

Hampir 2,000 sertai Larian Tok Gajah Kuala Lumpur 2024

KUALA LUMPUR – Larian Tok Gajah Kuala Lumpur 2024 yang pertama kali dianjurkan di sini hari ini, meriah dan berjaya mengumpulkan hampir 2,000 penyertaan anak Pahang.

Larian bermula di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kira-kira jam 7 pagi itu dilepaskan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Wan Rosdy berkata, program hari ini bersejarah bagi Pahang kerana julung kali dianjurkan selepas penubuhan Sekretariat Perantau Anak Pahang awal bulan ini.

“Alhamdulillah ramai (peserta), saya difahamkan hampir 2,000 anak-anak Pahang yang berada di sekitar ibu kota menyertai Larian Tok Gajah pagi ini.

“Dengan adanya Larian Tok Gajah ini boleh mengeratkan silaturahim anak-anak Pahang yang berada di luar Pahang. Larian antara 5 kilometer ke 7 kilometer ini insya-Allah kita akan buat lagi,” katanya pada sidang media larian itu di sini pagi ini.

Wan Rosdy berkata, selain menganjurkan pelbagai aktiviti, Sekretariat Perantau Anak Pahang turut berperanan sebagai medium untuk memudahkan anak-anak Pahang di luar Pahang mendapatkan maklumat berkaitan perkembangan semasa negeri itu.

Beliau berkata, selain maklumat yang boleh didapati menerusi platform media sosial, anak-anak Pahang yang mahu mendapatkan maklumat secara dua hala boleh ke pejabat Sekretariat Perantau Anak Pahang di Tingkat 6, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *