BERITA UTAMA

Episod 1 – Mandi sungai bersama Surenthiran Naidu

Sebelum Pak Long cerita tentang pengalaman Pak Long, elok kalau Pak Long cerita sedikit tentang latar belakang Pak Long. Pak Long lahir pada akhir bulan Disember, tahun 1948 iaitu beberapa bulan selepas Malaya Darurat. Masa itu komunis tengah mengamuk. 

Tak banyak yang Pak Long ingat tentang Darurat kecuali arwah ayah selalu tiada di rumah. Mak kata ayah masuk hutan lawan komunis. Oh, lupa nak cerita yang arwah ayah bekas seorang AC (Assistant Constable) atau Polis Bantuan Zaman Malaya masih dijajah British dulu.

Tetapi ada satu peristiwa yang Pak Long tidak dapat lupa, iaitu peristiwa dahi Pak Long luka menerang kerana Pak Long terjatuh sungai di Scarborough Estate, Sungai Petani, Kedah. Masa itu Pak Long mengajak kawan baik Pak Long, Surenthiran Naidu untuk terjun ke dalam sungai. Pada masa itu, umur kami baru 14 tahun. Surenthiran seorang remaja keturunan India yang baik dan pandai. Kategori budak nakallah Pak Long ni. Darah berambu penuh muka dan badan. Kira mandi darahlah. Maklumlah, dahi terpelehang kena batu.

Dimarahi mak Pak Long sebab balik lewat dengan keadaan basah kuyup. Inilah antara pengalaman Pak Long yang kekal bersemadi dalam ingatan sehingga hari ini. Pak Long rasa ada juga mereka yang seangkatan dengan Pak Long yang pernah mandi sungai dan dimarahi mak ayah mereka. Sungai pada masa itu masih jernih dan terpelihara. Kanak-kanak pada era itu tidak banyak hiburan kecuali main guli, penaik wau di bendang semasa musim menuai padi sambil meniup seruling padi. Atau sesekali baling@tengalung buah setoi di rumah saudara mara, panjat rambutan lekang di belakang rumah dan biasanya mandi sungai semasa air pasang besar.    

Selepas 40 tahun, baru baru ini Pak Long dapat bertemu kembali dengan sahabat Pak Long ini di Sungai Petani. Dia gini bergelar Dr. Surenthiran Naidu, bekas pensyarah sebuah institut perguruan. Selepas bersara, dia terlibat dengan aktiviti kebajikan. Pak Long merasa seronok boleh mengimbas kembali kenangan lama sambil minum kopi bersamanya. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *