BERITA UTAMA

Ya, saya ada terima surat saman dari Tun Daim – Azam

KUALA LUMPUR – Tan Sri Azam Baki hari ini mengesahkan ada menerima surat saman yang difailkan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu berkata, surat itu antara lain menyatakan mengenai tindakan pihak berkuasa itu yang tidak berlandaskan prosedur.

Bercakap pada sesi dialog ‘Integriti: Sejauh Mana Ketelusan Dinilai?’ yang disiarkan stesen televisyen milik kerajaan Sarawak, malam tadi, Azam menjelaskan, beliau tidak boleh mendedahkan maklumat surat saman itu kerana kes berkenaan sudah masuk mahkamah.

Sebelum ini, pasukan undang-undang yang mewakili Daim mendakwa Azam tidak mengendahkan arahan kehakiman dengan mengeluarkan kenyataan secara berterusan membabitkan kes dan isu perundangan yang sedang dihadapinya.

“Mereka menyatakan kenyataan berulang saya mengenai Daim bukan sahaja subjudis, tetapi juga prejudis kerana hakim sudah memberi amaran mengenai kes itu.

“Mereka juga mendakwa, kenyataan saya termasuklah kemungkinan memanggil Daim untuk disoal siasat berhubung dakwaan aset yang tidak didedahkan yang dianggap sebagai tidak wajar memandangkan pertuduhan sedia ada yang belum selesai di mahkamah,” katanya pada sesi dialog itu.

Menurut Azam, kenyataan beliau itu dianggap oleh peguam berkenaan seolah Daim bersalah dan melanggar prinsip subjudis, malah petikan ‘sumber’ memburukkan lagi keadaan.

Dalam kes Daim didakwa gagal mematuhi notis isytihar harta sebelum ini, bekas Menteri Kewangan itu diwakili bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Daim menghadapi pertuduhan di Mahkamah Sesyen kerana didakwa gagal mengisytiharkan harta dan mengaku tidak bersalah mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Azam menegaskan, SPRM bersedia untuk menyiasat lebih banyak kes berprofil tinggi termasuk kes lama, jika ada pihak tampil menyalurkan maklumat berkaitan.

“Kadang-kadang kami (SPRM) tak ada akses kepada sesetengah maklumat kerana kejadian itu berlaku sudah lama. Sedangkan, kami generasi baharu mungkin tak tahu.

“Betul… saya mungkin hidup pada waktu itu, tetapi saya tak berada dalam sistem ketika itu. (Jadi sekarang) tindakan perlu diambil kerana ia tanggungjawab saya,” katanya. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *