BERITA UTAMA

Mirzan diberi tambahan 30 hari lagi untuk isytihar harta

KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan, Tan Sri Mirzan Tun Mahathir diberi tempoh tambahan 30 hari lagi oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengisytiharkan harta.

Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, lanjutan tempoh itu diberikan sebagaimana dimohon Mirzan.

“Kami memberinya lanjutan masa sepertimana diminta bagi memberi peluang kepadanya untuk mengisytiharkan hartanya,” katanya ringkas yang dipetik Harian Metro.

Pada 18 Januari lalu, SPRM dalam kenyataan mengesahkan telah memanggil Mirzan untuk membantu siasatan yang sedang dijalankan.

Suruhanjaya itu memaklumkan satu perintah notis telah disampaikan kepada anak Dr. Mahathir itu di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009.

Melalui perintah itu, beliau dikehendaki mengisytiharkan segala aset alih dan tidak yang berada dalam pegangannya sama ada di dalam atau luar negara dalam tempoh 30 hari daripada tarikh notis tersebut.

Perintah itu adalah tindakan lanjutan daripada siasatan SPRM berhubung maklumat dalam laporan Kertas Panama serta aktiviti perniagaannya yang membabitkan penjualan dan pembelian syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Siasatan dijalankan di bawah Akta SPRM 2009 juga Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

SPRM telah memulakan siasatan sejak Ogos 2022 terhadap semua entiti yang berkait dan dinamakan dalam laporan Kertas Pandora juga Kertas Panama.

Sehingga kini, seramai 10 saksi telah dipanggil bagi tujuan dirakam pernyataan serta SPRM sedang mengkaji dokumen kewangan serta pemilikan aset entiti-entiti yang tersenarai dalam laporan tersebut dan siasatan masih giat dijalankan.

Selain Mirzan, seorang lagi anak Dr Mahathir iaitu Tan Sri Mokhzani turut dipanggil bagi memberi keterangan.

Mokhzani dilaporkan dipanggil bagi membantu siasatan kes membabitkan sebuah GLC.

Siasatan kes itu dipercayai mempunyai kaitan pegangan saham anak ketiga Dr Mahathir itu dalam syarikat GLC untuk mendapatkan projek kerajaan. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *