BERITA UTAMA

MARA akan hantar lebih ramai pelajar ke Jepun – Asyraf

KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (MARA) melalui institusi pendidikannya akan menghantar lebih ramai pelajar ke Jepun, kata Pengerusinya, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.

Katanya, penghantaran menerusi Japan Industrial Institute (MJII) dan UniKL itu bagi meningkatkan peluang latihan industri dalam bidang strategik dengan pemain industri Jepun.

“Sejurus tiba di Tokyo pagi tadi, kami terus mengadakan perjumpaan dengan Japan International Coorperation Industry (JICA) yang dipengerusikan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir di Imperial Hotel, Tokyo.

“JICA merupakan Pusat Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun yang menyelaras bantuan pembangunan rasmi bagi kerajaan Jepun, yang membantu pertumbuhan ekonomi dan sosial di negara-negara membangun termasuk Malaysia,” katanya menerusi Facebooknya, hari ini.

Menurut Asyraf, misi menjalin kerjasama dengan universiti dan industri Jepun bertujuan antara lain untuk perkasakan bidang TVET dan pendidikan yang menumpukan kepada teknologi tinggi MARA.

Kata beliau, JICA menggalakkan kerjasama Jepun di peringkat antarabangsa dan perjumpaan strategik itu membuka peluang kepada MARA untuk bekerjasama dalam pelbagai inisiatif kerjasama melalui pendidikan, peralihan teknologi TVET ke IPMA-IPMA MARA.

“Selain itu, ia memperkukuhkan kerjasama dengan pemain industri di Jepun bagi memanfaatkan pelajar dan tenaga pengajar dalam ekosistem pendidikan MARA,” ujar beliau. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *