BERITA UTAMA

Klinik Tangkarason terbakar, akan beroperasi sementara di dewan serbaguna – Dr. Asits

BELURAN – Klinik Kesihatan Tangkarason dekat sini, yang musnah terbakar Khamis lalu akan beroperasi sementara di Dewan Serbaguna Kampung Tangkarason.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Dr. Asits Sanna berkata, segala persiapan sedang giat dijalankan dan dijangka beroperasi pada Isnin ini (19 Februari 2024).

“Berikutan kebakaran itu, antara tindakan yang telah kita lakukan adalah perkhidmatan operasi klinik telah dipindahkan buat sementara waktu ke Dewan Serbaguna Kampung Tangkarason.

“Selain itu, bekalan ubat, peralatan pakai-buang serta perubatan telah diperolehi dan dibekalkan.

“Operasi klinik di dewan serbaguna ini akan bermula pada 19 Februari ini,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook KKM hari ini.

Khamis lalu media melaporkan, sebuah klinik kesihatan dan juga kuarters kakitangan musnah dalam kebakaran kira-kira jam 1 pagi.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Dr. Asits bersama pegawai kanan JKNS turut melawat dan memantau tempat kejadian serta beberapa tindakan susulan telah diambil secara tuntas.

Jelas beliau, kakitangan yang terlibat dalam insiden itu telah ditempatkan di homestay berdekatan, di samping diberikan sokongan Psychological First Aid (PFA).

Sementara itu, KKM dalam kenyataannya memaklumkan akan mengemukakan permohonan peruntukan bagi melaksanakan perolehan darurat untuk penggantian bangunan klinik supaya perkhidmatan kesihatan kepada penduduk tidak terjejas.

“Permohonan peruntukan ini termasuk penggantian peralatan yang musnah dalam kebakaran itu.

“Permohonan peruntukan di bawah perolehan darurat ini akan diangkat untuk kelulusan segera Kementerian Kewangan,” kata kenyataan itu. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *