BERITA UTAMA

Kes Nik Elin, KANUN gesa semua pihak hormati keputusan Mahkamah Persekutuan

KUALA LUMPUR – Biro Undang-Undang (KANUN) Parti Amanah Negara (AMANAH) memandang serius terhadap ramai pihak terhadap kes Nik Elin Zurina seperti diputuskan Mahkamah Persekutuan Jumaat minggu lalu.

KANUN mendapati ramai pihak yang tiada latar belakang undang-undang termasuk ustaz dan ustazah selebriti cuba mengelirukan orang ramai terhadap keputusan mahkamah itu.

Justeru, KANUN menyeru orang ramai untuk patuh dan taat kepada titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya menghormati keputusan yang dibuat itu.

Ini kerana, kata Setiausaha KANUN, Marwan Abdullah, institusi kehakiman khasnya Mahkamah Persekutuan adalah pihak yang paling berautoriti di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk memutuskan sebarang pertikaian melibatkan isu keesahan undang-undang yang digubal oleh DUN.

Beliau juga menyelar kenyataan mengelirukan Lujnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM) Pas Pusat memutarbelitkan fakta kes tersebut apabila menuduh Kerajaan Persekutuan dan Peguam Negara menikus, kononnya atas sebab kegagalan untuk menyertai prosiding tersebut.

“Fakta kes ini menunjukkan alasan utama Mahkamah Persekutuan membatalkan 16 seksyen dalam Enakmen Kanun Jenayah (I) Kelantan 2019 adalah berdasarkan kes duluan (case precedent) kes Iki Putra Mubarrak lawan Kerajaan Negeri Selangor dan Anor [2021] 2 MLJ 323), yang mana pada ketika itu Malaysia diperintah oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan ada Menteri Undang-Undang serta Menteri Agama yang diwakili oleh Pas.

“Namun, ketika itu juga Pas tidak pernah menggesa Kerajaan Persekutuan atau pun Peguam Negara untuk mencelah dalam prosiding kes berkenaan.

“Malah, Pas diam membisu ketika itu dan tidak berbuat apa-apa, sedangkan dalam kes Nik Elin ini Menteri Agama, Senator Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar telah mengarahkan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk mencelah dan membantah petisyen Nik Elin,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Marwan berkata, Kerajaan Perpaduan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim juga dengan pantas menyahut titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas mengkaji kompetensi DUN dalam menggubal undang-undang supaya kes serupa dapat dielakkan daripada berlaku pada masa hadapan.

Beliau menegaskan, semua hakim termasuk yang membuat pandangan ‘dissenting’ telah mengangkat sumpah untuk mempertahankan Perlembagaan.

Malah, katanya, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Ahli-ahli Parlimen parti itu juga mengangkat sumpah dengan lafaz sama bagi mempertahankan Perlembagaan.

“KANUN menyeru semua pihak berlapang dada menerima keputusan tersebut dan maju ke hadapan dalam memartabatkan kedaulatan Islam di Malaysia selaras dengan kehendak Perlembagaan Persekutuan.

“KANUN juga menyokong pandangan Ketua Hakim Negara yang menegur peguam yang tidak beretika dan memutarbelitkan keputusan mahkamah sehingga ada peguam Pas mendakwa Mahkamah Syariah atau undang-undang Islam akan dikuburkan dan diletakkan batu nisan.

“KANUN menegaskan isu pokok dalam kes Nik Elin ini adalah berkaitan isu federalisme iaitu penetapan had bidangkuasa negeri dan Persekutuan dalam menggubal undang-undang masing-masing,” ujar beliau.

Menurut Marwan, dengan adanya keputusan Mahkamah Persekutuan itu, bidangkuasa negeri dan Persekutuan akan lebih jelas serta murni.

Malah, tanggungjawab untuk melaksanakan Islam dalam kerangka Perlembagaan bukan sahaja terletak kepada negeri, bahkan kepada Persekutuan kerana Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan Islam adalah agama bagi Persekutuan.

Di samping itu, ujarnya lagi, beberapa agensi Kerajaan Persekutuan seperti JAKIM, YADIM, Halal dan lain-lain adalah bertanggungjawab memartabatkan Islam di Malaysia.

“Bahkan bajet bagi JAKIM juga telah ditingkatkan daripada RM1.5 bilion tahun lalu kepada RM1.9 bilion tahun ini dalam Belanjawan Madani.

“Kami yakin semua agensi kerajaan Persekutuan berkaitan Islam di bawah pimpinan Dr. Mohd Na’im mengambil serius mengenai keputusan kes Nik Elin ini dan berusaha memberikan penerangan yang tepat serta tidak mengelirukan kepada masyarakat,” katanya. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *