BERITA UTAMA

JKNK teruskan usaha untuk buka Pink Ribbon Centre – Dr. Zaini

KOTA BHARU – Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) belum dapat mewujudkan Pink Ribbon Centre berikutan kekangan kewangan dan lokasi yang bersesuaian.

Pengarahnya, Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, kewujudan Pink Ribbon Centre penting kerana akan memudahkan pesakit kanser payudara mendapatkan rawatan awal.

Bagaimanapun, beliau berkata, JKNK sedang berbincang dengan beberapa pihak lain bagi tujuan itu.

“Cadangan awal untuk buka pusat ini di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), tetapi ruang untuk meletakkan kemudahan dan peralatan pesakit tidak mencukupi.

“Oleh itu, perbincangan lanjut diteruskan kerana melibatkan bajet dan lokasi bagi memudahkan semua pesakit kanser payudara mendapatkan khidmat di pusat itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Kanser Sedunia peringkat Kelantan di HRPZ II, hari ini.

Menurut Dr. Zaini, hasrat JKNK untuk membuka Pink Ribbon Centre ini berdepan dengan sedikit kekangan dari segi lokasi dan sebagainya.

“Perbincangan awal untuk lokasi pembinaan ada cadangan melibatkan Hospital Bachok yang akan dibuka Mei ini, Hospital Sultan Ismail Petra Kuala Krai dan Hospital Tanah Merah.

“Ia masih dalam pertimbangan dan kita akan berusaha bagi memastikan hasrat murni ini menjadi kenyataan bagi membolehkan rawatan dan kaunseling terhadap pesakit dapat dilakukan secara maksimum.

Konsep Pink Ribbon Centre ini mula dilaksanakan di beberapa hospital di Malaysia seperti Hospital Klang, Selangor; Hospital Tuanku Jaafar, Negeri Sembilan; Hospital Queen Elizabeth, Sabah dan Hospital Umum, Sarawak.

Hasilnya mereka berjaya mengurangkan kadar pesakit sehingga kurang daripada sepuluh peratus malah meningkatkan keberkesanan pengesanan awal terhadap kes kanser payudara. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *