BERITA UTAMA

Beras Madani, kerajaan belum buat ketetapan cadangan – Mat Sabu

KUALA LUMPUR – Ketika rakyat ‘berperang’ dengan kerajaan berikutan pengumuman akan menggantikan beras putih tempatan kepada beras Madani yang lebih mahal, kenyataan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan hari ini, melegakan semua pihak.

Datuk Seri Mohamad Sabu memaklumkan, kerajaan belum membuat sebarang ketetapan berhubung cadangan Jawatankuasa Menangani Harga Makanan dan Kos Sara Hidup, Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) mahu mewujudkan Beras Putih Malaysia MADANI mulai Isnin ini.

Kata Mohamad, sebarang cadangan akan dibincangkan secara kolektif termasuk membawanya ke mesyuarat NACCOL akan datang.

“Sebarang pengumuman atau ketetapan yang hendak dibuat mestilah berpandukan kepada Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522) serta dimaklumkan kepada Jemaah Menteri,” tegasnya.

Rabu lalu, Pengerusi NACCOL, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mengumumkan, kerajaan akan memperkenalkan kategori tunggal bagi beras putih untuk menggantikan kategori beras putih tempatan dan import di pasaran negara, dikenali sebagai Beras Putih Malaysia Madani.

Jelas beliau, kerajaan turut menetapkan harga siling bagi beras putih itu pada kadar RM30 bagi kampit 10 kg, manakala RM15.50 (lima kg) dan RM3.50 (satu kg).

Beliau berkata, penetapan harga siling baharu bagi beras berkenaan akan berkuatkuasa pada 19 Februari ini dan ia dijangka akan berada di pasaran bermula 1 Mac. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *