BERITA UTAMA

Beras Madani, dua wakil rakyat PH bidas Syed Abu Hussin

PETALING JAYA – Dua wakil rakyat dari Pakatan Harapan (PH) menegur Ahli Parlimen Bukit Gantang, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal kerana secara tergesa-gesa mengumumkan pengenalan beras putih Malaysia Madani yang belum diputuskan kerajaan.

Ahli Parlimen Sri Gading, Aminolhuda Hassan dan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim mempersoalkan bagaimana Syed Hussin yang bukan anggota Jemaah Menteri, tetapi hanya mengetuai jawatankuasa menangani harga makanan dan kos sara hidup boleh mendahului kerajaan mengumumkan dasar penting itu.

Bagaimanapun, hari ini, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menjelaskan, pengenalan gred beras putih dikenali Beras Madani yang diumumkan Syed Hussin Rabu lalu sebagai satu kekeliruan dan belum diputuskan kerajaan.

Bercakap kepada FMT, Aminolhuda dari parti Amanah berkata, keputusan besar seperti beras yang menjadi makanan utama rakyat perlu mendapat kelulusan Jemaah Menteri kerana jika tidak dilakukan dengan cermat boleh menimbulkan kemarahan ramai.

“Jangan timbul kemarahan atau kekeliruan rakyat terhadap kerajaan yang sentiasa mengambil berat kos sara hidup rakyat.

“Ia mesti mendapat kelulusan Kabinet supaya keputusan berkenaan didukung Kementerian Kewangan; Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri; Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup; dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan,” katanya.

Jelasnya, pihak berkuasa yang memantau penjualan beras juga perlu mendapat arahan jelas daripada kementerian betul untuk mengelakkan kekeliruan pengguna.

Pengumuman Syed Hussin berhubung penjualan beras putih Malaysia Madani berharga RM30 bagi kampit 10 kg mulai 1 Mac ini, menggantikan beras putih tempatan (SST) dan beras putih import (SSI) turut menimbulkan persoalan ramai termasuk Pengarah Urusan Mydin, Ameer Ali Mydin yang meminta penjelasan lanjut kerajaan.

Semalam, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Majlis Tindakan Sara Hidup (Naccol) minggu depan akan memutuskan muktamad tentang harga beras dikawal.

Sebelum ini, Syed Hussin mendakwa cadangan itu dikemukakan kepada Anwar dan dipersetujui untuk dilaksanakan.

Sementara itu, Hassan daripada PKR berkata, Ahli Parlimen Bukit Gantang itu harus menyedari pengumuman berkaitan penjualan beras perlu dibuat menteri bertanggungjawab iaitu Mohamad berpandukan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 dan dimaklumkan kepada Jemaah Menteri terlebih dahulu.

“Jadi YB Bukit Gantang jangan jadi lebih laju pengayuh dari sampan, secara teknikal beliau bukan anggota Kabinet atau kerajaan, masih (lagi) ahli Bersatu yang menjadi pembangkang di Parlimen,” katanya.

Syed Hussin dilantik sebagai ketua jawatankuasa menangani harga makanan dan kos sara hidup bawah Naccol pada 28 Januari lalu, dua bulan selepas mengisytiharkan sokongan kepada Anwar. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *