BERITA UTAMA

5.85 peratus produk madu tidak mematuhi standard – KKM

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) mengambil maklum artikel bertajuk “Lambakan 90 peratus madu tiruan di pasaran, bagaimana nak tahu mana yang asli” yang disiarkan akhbar Berita Harian pada 13Februari lalu. Artikel berkenaan turut memberi maklumat berkaitan madu kelulut.

Di Malaysia, madu diklafikasikan berdasarkan spesies lebah yang menghasilkan madu.

Madu yang dihasilkan lebah madu dipanggil apis dorsata, manakala stingless bee dihasilkan oleh kelulut.

Berdasarkan Peraturan 130, Peraturan-Peraturan Makanan 1985, produk madu perlu mengikut standard yang telah ditetapkan, antaranya mengandungi tidak kurang 60 peratus gula penurunan, mempunyai kandungan sukrosa tidak lebih 10 peratus dan tidak boleh mengandungi hydroxymethylfurfural (HMF) lebih daripada 80 mg/kg.

KKM melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) sentiasa menjalankan pemantauan produk madu di pasaran.

Sebanyak 769 sampel produk madu dengan pelbagai jenama telah diambil dari tahun 2016 sehingga kini.

Hasil pemantauan, mendapati 45 sampel (5.85 peratus) produk madu tidak mematuhi standard ditetapkan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan tindakan penguatkuasaan telah diambil ke atas syarikat dan produk terlibat.

Seksyen 13(2)(e) memperuntukkan tiada seorang pun boleh menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang diadukkan jika tidak mematuhi standard atau spesifikasi ditetapkan oleh mana-mana peraturan yang dibuat di bawah akta ini.

Seseorang yang didapati melanggar peruntukan ini dan apabila disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

KKM turut menawarkan Skim Pensijilan Makanan Autentik bertujuan memberikan pengiktirafan ke atas produk makanan yang disahkan autentik / tulen dan memenuhi kriteria ditetapkan dalam Skim Pensijilan ini.

Ini termasuk produk madu, daging, kopi dan sarang burung walit. Sehingga kini, tujuh syarikat telah memperoleh Pensijilan Autentik untuk produk madu dari KKM.

Pada masa ini, KKM sedang menjalankan kerjasama dengan Agensi Nuklear Malaysia serta Jabatan Pertanian bagi menentukan ketulenan madu menggunakan teknik terkini iaitu menggunakan teknik isotop sebagaimana disarankan oleh standard makanan antarabangsa Codex.

KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna.

Pengguna disaran membaca label dan memilih produk makanan yang mempunyai logo Program Jaminan Keselamatan Makanan (PJKM) seperti Autentik, MeSTI, GMP dan HACCP dari KKM.

Sebarang kemusykilan berhubung isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhg. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *