BERITA UTAMA

Vesel karam, lapan kru Bos Azlina cemas

BINTULU – Lapan kru Vesel Bos Azlina berada dalam keadaan cemas apabila kapal utiliti mereka tenggelam dalam kejadian di sembilan batu nautika dari barat laut Kuala Kemena, di sini, semalam.

Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kapten Maritim Mohd Iszuadi Muhamad Hassan berkata, semua kru termasuk master merupakan lelaki warga Indonesia berumur antara 31 hingga 48 tahun.

Katanya, kejadian dilaporkan berlaku pada jam 11.56 pagi dan semua mereka sempat menyelamatkan diri sebelum vesel terbabit karam.

“Maklumat awal yang diterima aset maritim Bot Kilat 44, vesel terbabit dilaporkan telah separuh ditenggelami air.

“Master vesel terlibat telah menghubungi teksi air (Kuda Laut 1) untuk menyelamatkan mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Mohd Iszuadi, semua kru vesel selamat dikeluarkan pada sekitar jam 12.30 tengah hari dengan bantuan teksi air dan dipantau oleh Maritim Malaysia.

“Punca kejadian masih lagi disiasat, manakala ejen vesel telah dihubungi dan akan mengambil tindakan bagi membantu mangsa,” ujarnya.

Sebarang maklumat salah laku atau kegiatan jenayah dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menyalurkan kepada Pusat Operasi Maritim Malaysia Negeri Sarawak di talian 082-432544 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam untuk tindakan segera. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *