BERITA UTAMA

Penyakit jantung punca utama kematian di Malaysia – Dr. Dzulkefly

KUALA LUMPUR – Penyakit jantung terus menjadi punca utama kematian di Malaysia dengan 18.4 peratus daripadanya disahkan secara perubatan pada 2022, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata, peratusan itu merujuk kepada laporan Jabatan Perangkaan Malaysia, yang mana serangan jantung dalam kalangan individu lebih muda berbanding lima tahun lalu.

Katanya, peningkatan jumlah kematian yang dikaitkan dengan penyakit paru-paru dalam kalangan belia pula agak membimbangkan.

“Kementerian Kesihatan (KKM) komited untuk mengurangkan prevalens penyakit kardiovaskular dan paru-paru dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Justeru, kita menggalakkan jalinan strategik dengan hospital swasta yang mempunyai kepakaran dan pengetahuannya dalam kardiologi, pernafasan dan onkologi.

“Jalinan ini dapat dimanfaatkan, selain mempertingkatkan proses sedia dan juga memangkin kemunculan penyelesaian baharu bagi menangani keperluan penjagaan kesihatan negara yang semakin pesat berkembang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis pelancaran kerjasama strategik antara KPJ Healthcare Berhad dan Mayo Clinic melalui dua hospital pakar iaitu KPJ Damansara Specialist Hospital (KPJ DSH) dan Hospital Pakar Damansara 2 (DSH2) di sini, hari ini.

Turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Johor Corporation Berhad, Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim; Pengarah Perubatan Eksekutif Mayo Clinic bagi Amalan Antarabangsa dan Asia Pasifik, Dr. Stacey Rizza; Pengerusi KPJ Healthcare, Datuk Md. Arif Mahmood; serta Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Chin Keat Chyuan.

Menurut Dr. Dzulkefly, kerjasama itu menandakan penglibatan Malaysia yang pertama bersama Mayo Clinic Care Network dalam mencapai sasaran global ke arah memacu kecemerlangan perubatan dan inovasi penjagaan pesakit serta mewujudkan standard baharu bagi landskap penjagaan kesihatan di negara ini. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *