BERITA UTAMA

MCW pandang serius penyalahgunaan dana Aman Palestin – Jais

KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) memandang serius isu penyalahgunaan dana Aman Palestin sehingga beberapa individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan dituduh di mahkamah.

Presidennya, Jais Abdul Karim berharap, mereka terlibat dibicarakan dengan adil dan dihukum dengan berat jika didapati bersalah.

“MCW dari awal lagi memandang serius isu penyalahgunaan dana Aman Palestin ini dan berharap keadilan dapat ditegakkan tanpa mengira pangkat atau kedudukan sosial.

“Tuduhan pecah amanah, penipuan dan pengubahan wang haram pasti merosakkan integriti serta kepercayaan dalam pengurusan organisasi amal.

“Keraguan terhadap Aman Palestin telah menjadi isu yang berlarutan dan penggunaan slogan agama untuk menyelindungi diri mungkin telah menyebabkan kebanyakan penderma memilih untuk tidak mempertikaikan pengurusan dana,” katanya menerusi hantaran Facebook MCW hari ini.

Semalam, media melaporkan, tiga individu termasuk dua pengurusan tertinggi Aman Palestin dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam atas 164 pertuduhan melibatkan pengubahan wang haram, penipuan dan pecah Amanah bernilai kira-kira RM39.53 juta.

Pengerusi Eksekutif Aman Palestin, Abdullah Zaik Abd. Rahman, 58; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Aman Palestin, Awang Suffian Awang Puit, 52; dan pengarah sebuah syarikat pelaburan, Khairudin Mohd Ali, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

Mengulas lanjut, Jais berkata, pendakwaan itu juga penting untuk mengetepikan isu berkenaan dengan segera.

Selain itu, beliau menggesa masyarakat untuk terus memainkan peranan aktif dalam memantau kegiatan organisasi amal dan menyokong langkah pencegahan rasuah yang berkesan.

“Aman Palestin perlu mempercayai proses undang-undang yang sedang berjalan.

“Mereka juga perlu reda dengan tindakan ini demi memastikan organisasi mereka dibersihkan sepenuhnya dari sebarang tuduhan penyalahgunaan atau penyelewengan dana.

“Dengan menjadi sebuah NGO yang bersih, lebih ramai penyumbang akan bersedia untuk memberikan sumbangan pada masa hadapan,” katanya.

Katanya, MCW akan terus mengikuti perkembangan kes itu dan memberikan sokongan penuh kepada pihak berkuasa dalam memastikan keadilan serta ketelusan penguatkuasaan undang-undang. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *