BERITA UTAMA

Jawatankuasa Teknikal lindungi syarikat Malaysia dalam sektor komoditi – Johari

KUALA LUMPUR – Kementerian Perladangan dan Komoditi serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam mewujudkan jawatankuasa teknikal bagi melindungi syarikat tempatan dalam sektor komoditi bagi mendepani isu-isu berbangkit.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata jawatankuasa teknikal itu akan memastikan bahawa syarikat Malaysia dalam sektor tersebut akan dapat menjalankan perniagaan mereka serta mengeksport tanpa ada sebarang halangan dari negara luar.

“Hari ini saya mengadakan satu perbincangan yang sangat penting bersama Menteri Sumber Asli Dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad untuk memastikan produk berkaitan komoditi Malaysia yang dieksport ke luar negara tidak terjejas akibat daripada Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan EU (EUDR).

“EUDR ini boleh memberi implikasi dan menjejaskan produk sektor komoditi Malaysia untuk dieksport jika kita tidak mematuhinya,” kata beliau dalam satu hantaran di laman X malam tadi.

Johari berkata, nilai eksport bagi sektor komoditi Malaysia mencecah lebih RM160 bilion setahun dan ia menyumbang sebanyak 5.2 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta menghasilkan lebih satu juta peluang pekerjaan.

Katanya, Malaysia juga berpotensi mendapat persepsi negatif di peringkat global sekiranya tidak membabitkan diri secara langsung dalam menangani isu-isu hutan dan kelestarian alam.

“Oleh itu, satu kerjasama yang erat melalui Kementerian Perladangan dan Komoditi dan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam ialah sebagai komitmen kerajaan di peringkat Persekutuan bahawa Malaysia memenuhi peraturan-peraturan dari segi ‘deforestation, traceability & geolocation’ (penebangan hutan, kebolehkesanan & lokasi geo),” kata Johari. – BERNAMA

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *