BERITA UTAMA

Sultan Selangor titah hormati keputusan Mahkamah Persekutuan, kedudukan Perlembagaan

SHAH ALAM – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan semua pihak menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan dan kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama negara.

Baginda selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) bertitah, Perlembagaan Persekutuan perlu sentiasa didokong oleh seluruh rakyat Malaysia.

Titah baginda, dalam menangani isu ini apa yang penting ialah usaha mencari jalan untuk mengatasi segala permasalahan yang timbul dengan mengkaji kaedah memperluaskan kompetensi Badan Perundangan Negeri bagi menggubal undang-undang jenayah syariah dalam kerangka ditetapkan Perlembagaan Persekutuan.

“Usaha ini termasuk mengkaji sekiranya ada keperluan untuk mencadangkan pindaan kepada peruntukan tertentu Perlembagaan Persekutuan dan/atau undang-undang Persekutuan yang berkaitan bagi memastikan kuasa Badan Perundangan Negeri untuk menggubal undang-undang jenayah syariah termaktub secara jelas dalam Perlembagaan Persekutuan tanpa sebarang kekaburan ‘ambiguity‘.

“Pelbagai pihak terutama ahli politik, pengamal undang-undang, para akademik dan rakyat biasa telah membuat pelbagai ulasan dan tafsiran terhadap keputusan kes tersebut dan terdapat ulasan yang memberi penjelasan sebenar mengenai kesan kepada keputusan kes tersebut,” titah baginda menerusi hantaran Facebook Selangor Royal Office hari ini.

Sultan Sharafuddin selaku Pengerusi MKI bertitah demikian dalam Mesyuarat MKI kali Ke-71 di Putrajaya, hari ini.

Namun demikian, titah baginda lagi, terdapat juga ulasan berdasarkan kepada polemik kepentingan pihak tertentu sehingga menimbulkan pelbagai kekeliruan kepada umat Islam di negara ini.

“Malah, ada yang telah menyifatkan keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut sebagai detik ‘Black Friday’ kepada undang-undang jenayah syariah Islam di negara ini.

“Beta tidak berhasrat untuk turut sama terlibat dalam polemik tersebut. Beta telah disembah maklum bahawa Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Berkaitan Kompetensi Dewan Undangan Negeri untuk menggubal undang-undang Islam yang ditubuhkan atas titah Beta semasa mesyuarat MKI Kali ke-70 pada 28 Ogos 2023 sedang meneliti persoalan yang berbangkit ini.

“Antaranya, melaksanakan kajian terhadap isu berkaitan dengan kompetensi termasuk analisis terhadap peruntukan undang-undang sedia ada secara menyeluruh, mengkaji keputusan mahkamah tertinggi serta membincangkan isu tersebut secara terperinci; dan mencadangkan dan membuat pengesyoran tentang kaedah penyelarasan yang terbaik dan harmoni terhadap isu kompetensi Badan Perundangan Negeri untuk menggubal undang-undang Islam serta bidang kuasa Mahkamah Syariah selaras dengan Perlembagaan Persekutuan; dan mengkaji kaedah memperkasakan bidangkuasa Mahkamah Syariah,” titah baginda.

Sultan Selangor turut bertitah, Jawatankuasa Khas itu telah diberi tempoh setahun dari tarikh ditubuhkan untuk memberikan sebarang cadangan kepada MKI dan seterusnya diangkat kepada Majlis Raja-Raja untuk diperhalusi dan diperkenankan.

Baginda turut menyeru dan menggesa semua pihak, termasuk pakar perundangan agar membantu Jawatankuasa Khas itu dengan memberikan cadangan berilmiah, bernas serta praktikal bagi memudahkan Jawatankuasa Khas berkenaan melaksanakan tugas mereka.

“Beta faham adalah menjadi satu amanah yang berat yang perlu dipikul oleh Jawatankuasa Khas ini. Namun, Beta percaya dengan pengalaman dan kelayakan yang ada pada ahli-ahli jawatankuasa ini serta dengan izin Allah Subhanahu Wata’ala satu penyelesaian dapat dicapai bagi manfaat semua pihak terutama umat Islam di negara ini.

“Dengan itu, beta menyeru kepada semua pihak terutama umat Islam agar bertenang dan tidak menimbulkan sebarang kekecohan sementara menantikan cadangan dari Jawatankuasa Khas ini.

“Di kesempatan ini, beta ingin menasihatkan umat Islam di negara ini terutama kepada para alim ulamak dan para ilmuan Islam agar sentiasa memelihara adab dalam mencetuskan sesuatu pandangan bagi mengelakkan timbulnya kekeliruan di kalangan umat Islam,” titah baginda. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *