BERITA UTAMA

Semua pihak perlu akur titah Sultan Selangor – Dr. Na’im

KUALA LUMPUR – Semua pihak diminta akur dengan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah agar keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung kes Nik Elin Zurina dihormati dan Perlembagaan Persekutuan didokong sebagai undang-undang utama negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, jabatannya akan menggerakkan seluruh jentera pentadbiran hal ehwal Islam untuk mengukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini.

Ini katanya, selaras dengan aspirasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam melaksanakan agenda membangun Malaysia Madani.

“Kita juga akan memberikan ruang penuh kepada Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri untuk Menggubal Undang-Undang Islam untuk mengkaji isu berkaitan dengan kompetensi Dewan Undangan Negeri serta bidang kuasa Mahkamah Syariah sebagaimana diperuntukkan di bawah Butiran 1, Senarai II-Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

“Cadangan daripada Jawatankuasa Khas ini akan dikemukakan kepada MKI dan diangkat kepada Majlis Raja-Raja untuk diperhalusi serta diperkenankan.

“Semua pihak diseru untuk bertenang serta tidak melakukan apa-apa provokasi yang boleh mengundang kepada keresahan awam sementara menantikan cadangan daripada Jawatankuasa Khas ini,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Menurut Dr. Mohd Na’im, jabatannya turut berusaha memperkukuh dasar serta program pendidikan tahfiz dalam negara, termasuk penekanan kepada penguasaan mata pelajaran bahasa Arab di kalangan pelajar tahfiz agar fasih dan berkemahiran untuk mentafsirkan ayat suci al-Quran secara tepat.

Pada masa sama, katanya, beliau menjunjung tinggi titah Sultan Selangor supaya setiap perbezaan pandangan perlu diselesaikan secara musyawarah, tertutup serta meraikan perbezaan pandangan secara ilmiah dan berhemah.

“Sesungguhnya titah baginda ini telah menatijahkan kekuatan agama Islam dan umat Islam di negara kita. Melalui peranan MKI, ia telah memperkukuh kesatuan dan perpaduan umat Islam,” katanya. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *