BERITA UTAMA

Pertahan keharmonian negara tanpa mengira perbezaan agama, kaum – Anwar

KUALA LUMPUR – Aspek keharmonian negara perlu terus dipertahankan tanpa mengira perbezaan agama dan kaum, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, ini selaras dengan keputusan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini, agar ia perlu dihormati semua lapisan masyarakat, sementelahan menghormati kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama negara.

“Kerajaan Persekutuan menyambut baik titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya keputusan mahkamah itu dihormati dan dilihat tepat pada masanya bagi menurunkan suhu hangat politik semasa.

“Baginda bertitah demikian dalam Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) kali ke-71 di Putrajaya, hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama majlis sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) di sini, hari ini.

Dalam majlis sama, Anwar memaklumkan penganjuran Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024) yang dijadualkan berlangsung pada 29 Februari hingga 2 Mac ini bersifat lebih inklusif.

Beliau berharap, KEB 2024 mendapat kerjasama dan sokongan bersama daripada masyarakat Cina dan India bagi membantu menangani masalah kemiskinan.

Justeru, pemimpin dewan perniagaan yang mewakili masyarakat Melayu, Cina dan India akan diundang untuk memberi pandangan dan input berhubung perkara itu supaya KEB 2024 tidak dianggap sebagai eksklusif. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *