BERITA UTAMA

Hassan terpengaruh dengan mainan politik Pas – Puad

KUALA LUMPUR – Datuk Mohd Puad Zarkashi menempelak Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim yang menyokong kerajaan Pas Kelantan dalam isu Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu berkata, Hassan memberi alasan menyokong Kelantan berdasarkan politik, sejarah dan budaya negeri itu, termasuk Pas telah menguasai pemerintahan sejak 34 tahun lalu.

Kata Mohd Puad, jika Hassan menggunakan alasan politik, bukan tafsiran perlembagaan, maka beliau jangan lupa, sejak lahir lagi Pas telah mempolitikkan Islam demi kuasa.

“Pas juga mempolitikkan kaedah pelaksanaan Islam sehingga boleh timbul salah faham terhadap Islam. Contoh terbaru, Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

“Strategi Pas ialah membuat undang-undang Islam terlebih dahulu. Selepas itu baru minta kebenaran Parlimen. (Tetapi) apabila gagal, kerajaan pusat dituduh anti syariah.

“Pas gemar memanipulasi sentimen rakyat dan sepertimana dalam kes Nik Elin, Presiden Pas, (Tan Sri) Abdul Hadi Awang mendakwa akal hakim telah dipengaruhi oleh pemikiran penjajah,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.

Beliau bertanyakan kepada Hassan, selama 34 tahun memerintah, apakah kejayaan Pas dalam pelaksanaan Islam.

“Cuba Hassan buka mata. Sebab itu hujah mantan Ketua Hakim Negara Tun Hamid Mohamad lebih fokus dan penting.

“Hujah Tun Hamid ialah remidi politik. Dapatkah Parlimen meminda Perlembagaan. Jika tidak, undang undang syariah terus dipolitikkan.

“Masalahnya, Pas mempolitikkan agama. Pas juga main politik untuk penyatuan ummah. Ia menyukarkan Perlembagaan Persekutuan dipinda,” katanya.

Menjawab soalan Tun Hamid, apa kita mahu? Mohd Puad menjelaskan, kerajaan tidak boleh berbuat apa-apa kerana Pas tidak mahu tahu kedudukan undang-undang terkini. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *