BERITA UTAMA

APEC 2024: Mesyuarat pertama ABAC tumpu reda tekanan ekonomi serantau

KUALA LUMPUR: Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) membuka tahun persidangan dengan penganjuran mesyuarat pertama Majlis Penasihat Perniagaan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (ABAC).

Mesyuarat tiga hari bermula semalam itu menjadi platform dialog kepada usaha untuk meredakan tekanan ekonomi yang melanda rantau ini.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Liew Chin Tong berkata, mesyuarat berkenaan penting bagi Malaysia membuka peluang kepada sektor swasta untuk melibatkan diri dengan pemimpin-pemimpin perniagaan daripada 20 ekonomi APEC.

“Sekarang ini kita menghadapi pelbagai cabaran di arena antarabangsa. Ada persaingan geopolitik, ada cabaran, tetapi dengan kewujudan APEC, ia dapat meredakan ketegangan itu.

“Negara-negara terlibat dengan APEC boleh gunakan platform ini untuk mengadakan dialog, kerjasama, untuk selesaikan masalah yang dihadapi daripada segi ekonomi dan perdagangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan mesyuarat Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) di sini, hari ini.

Menurut Liew, tidak kurang penting ialah untuk berada dalam satu meja besar bersama ekonomi besar dunia seperti Amerika Syarikat, China dan Rusia.

Ia sebagai platform yang menawarkan perspektif perniagaan kepada kerajaan berhubung pelaksanaan agenda APEC bagi meningkatkan perdagangan di rantau ini.

“Jadi, kita perlu terus berdialog bagi melihat cara bekerja antara satu sama lain, dengan pelbagai ekonomi, untuk memastikan bahawa kita benar-benar menyampaikan perdagangan yang sesuai untuk ramai orang.

“Kita memerlukan generasi baharu, agenda perdagangan baharu. Agenda perdagangan ini penting untuk Malaysia, dan juga ekonomi APEC,” tambahnya.

Ditubuhkan pada November 1995 oleh pemimpin ekonomi APEC, ABAC berfungsi sebagai platform penting perdagangan di rantau ini. Setiap ekonomi APEC diwakili oleh maksimum tiga ahli tetap daripada sektor swasta yang dilantik oleh ketua ekonomi APEC masing-masing. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *