BERITA UTAMA

Amanah sokong penuh usaha perkasa undang-undang syariah – Mat Sabu

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) sentiasa menyokong penuh usaha memperkasa pelaksanaan undang-undang syariah termasuk bidang kuasa Mahkamah Syariah, kata Presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Beliau berkata, ini selaras dengan beberapa peruntukan khusus berkaitan kedudukan Islam termasuk sebagai agama Persekutuan di bawah Perkara 3 (1) dan bidang kuasa undang-undang di bawah Perkara 121 (1A) dan Senarai 2 Jadual Kesembilan.

Katanya, sebagai parti yang menjunjung keluhuran Perlembagaan Persekutuan, Amanah menggesa Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Mengubal Undang-undang Islam diperkasakan sebagai platform konsultansi dan badan advokasi berautoriti ke atas negeri-negeri dan wilayah Persekutuan.

“Ia bertujuan untuk memperkasa bidang kuasa mahkamah syariah supaya apa juga pindaan atau penggubalan peruntukan baharu undang-undang syariah menjadi lebih harmoni, seragam dan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dengan melibatkan semua wakil negeri-negeri dan Persekutuan.

“Amanah menegaskan, keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Nik Elin Zurina, yang mana 16 peruntukan dalam Enakmen Jenayah Syariah Kelantan adalah terbatal kerana ia melangkaui bidang kuasa negeri seperti mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

“Perkara 4(1) menyatakan dengan jelas bahawa apa-apa undang-undang yang bertentangan dengan Perlembagaan adalah terbatal,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Menurut Mohamad, keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut mengikat rakyat Malaysia kerana fungsi mahkamah adalah menafsirkan undang-undang.

Jelasnya, fungsi mahkamah itu juga harus dihormati bagi menjamin kestabilan pentadbiran negara yang berpegang kepada pengasingan kuasa antara badan legislatif, eksekutif dan kehakiman.

“Maka, apa-apa dakwaan bahawa keputusan kes tersebut menentang undang-undang syariah adalah tidak berasas dan ianya satu permainan sentimen yang mengelirukan oleh sesetengah pihak.

“Amanah menegaskan, keputusan tersebut tidak langsung merungkai atau menghakis bidang kuasa mahkamah syariah, sebaliknya undang-undang syariah tetap akan diperjuangkan parti ini untuk diperkasakan supaya kedudukan dan pelaksanaan setiap undang-undang syariah dijalankan secara berhikmah, harmoni dan selamat tanpa terbatal kerana tidak beperlembagaan.

“Parti ini juga mengambil maklum dalam kes Mamat Daud vs Kerajaan Malaysia (1988) 1 MLJ 119, Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa seksyen 298A Kanun Keseksaan terbatal kerana tidak berperlembagaan memandangkan kesalahan berkaitan agama Islam adalah di bawah bidang kuasa negeri dan mahkamah syariah,” ujar beliau.

Mengambil kira kes itu, Mohamad berkata, ia jelas menunjukkan undang-undang sivil juga boleh terbatal apabila melangkaui bidang kuasa seperti mana senarai-senarai Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *