BERITA UTAMA

Wartawan Israel digantung kerja kerana kritik Netanyahu

TEL AVIV – Seorang wartawan Israel digantung kerja selepas dia menyebut Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu mahu semua tebusan perang di bawah Hamas mati.

“Netanyahu tidak mempunyai kepentingan sebenar, tiada insentif sebenar untuk membebaskan tebusan.

“Dia mahu mereka semua mati, atas alasannya sendiri menjadi syahid,” kata wartawan Channel 13, Gil Tamary ketika siaran berita secara langsung pada Ahad.

Susulan kenyataannya itu, Tamary digantung sementara namun didakwa akan menyambung semula tugasnya pada Rabu selepas membuat permohonan maaf.

Setakat ini, tiada maklum balas daripada pejabat Netanyahu mengenai insiden itu.

Minggu lalu, Netanyahu menolak cadangan Hamas untuk gencatan senjata di Gaza dan pertukaran tebusan, selain berikrar meneruskan perang hingga matlamat menghancurkan pasukan pejuang tercapai.

Hamas menahan lebih 130 tebusan perang Israel berikutan serangan rentas sempadan pada Oktober lalu.

Sejak itu, Israel tanpa henti melancarkan serangan ganas ke atas Gaza sehingga membunuh sekurang-kurangnya 28,340 rakyat Palestin dan mencederakan 67,984 yang lain.

Serangan rejim juga menyebabkan 85 peratus penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal, di tengah-tengah kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan, manakala 60 peratus infrastruktur wilayah rosak atau musnah.- Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *