BERITA UTAMA

Rakyat Indonesia mula mengundi hari ini, Prabowo kekal dahului saingan

INDONESIA – Rakyat Indonesia mula mengundi untuk Presiden baharu hari ini dengan bekas Menteri Pertahanan, Prabowo Subianto kekal mendahului saingan.

Tinjauan undian Prabowo, 72, yang juga ketua tentera ketika pemerintahan presiden Suharto, berada di landasan untuk mendapatkan majoriti bagi mengelakkan pusingan kedua.

“Kami akan berjuang untuk membawa kemakmuran kepada rakyat Indonesia dan meneruskan apa yang sudah dibina oleh presiden terdahulu,” katanya yang berikrar meneruskan dasar Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi.

Orang ramai mengundi pada pilihan raya presiden di pusat mengundi di Banjar Teba, Jimbaran, Bali hari ini. – Foto AFP

Prabowo memerlukan lebih 50 peratus undi dan sekurang-kurangnya 20 peratus undi di lebih separuh wilayah negara itu untuk jawatan presiden.

Hampir 205 juta orang layak mengundi Prabowo atau pesaingnya, Anies Baswedan dan Ganjar Pranowo, hanya dalam Pilihan Raya Presiden kelima sejak berakhirnya pemerintahan diktator Suharto pada 1998.

Sementara itu, kumpulan hak asasi manusia melahirkan kebimbangan bahawa Prabowo boleh menarik-balik kebebasan demokrasi yang dimenangi sekiranya menang, memandangkan pemimpin itu pernah didakwa mengarahkan penculikan aktivis demokrasi pada akhir pemerintahan Suharto.

Satu lagi faktor penting dalam popularitinya ialah calon pasangan Naib Presiden iaitu anak sulung Jokowi, Gibran Rakabuming Raka, 36.

Bagaimanapun, timbul tuduhan Jokowi menggunakan dana kerajaan secara tidak wajar untuk menyokong Prabowo dan pertukaran peraturan calon bawah usia 40 tahun boleh bertanding oleh Ketua Hakim Negara yang juga abang ipar kepada Jokowi.

Sementara itu, Anies, bekas kakitangan Jokowi dan Gabenor Jakarta disifatkan akan menjadi pencabar Prabowo sekiranya berlaku undian pusingan kedua.

Hari ini diisytiharkan sebagai cuti kebangsaan dengan lebih 800,000 pusat mengundi akan beroperasi merentasi tiga zon waktu.

Di wilayah bergolak, pegawai bandar Timika memeriksa pusat mengundi sementara yang dibina daripada kayu balak dan daun palma ketika pengundi mula tiba.

Pusat mengundi, setiap satu dibuka selama enam jam bermula 7 pagi hingga 1 tengah hari akan dikendalikan oleh lebih 5.7 juta petugas pilihan raya dan lebih 20,000 kerusi disediakan untuk direbut dari peringkat daerah ke kerusi Parlimen negara dan jawatan Presiden.

Keputusan rasmi tidak dijangka sehingga Mac, tetapi apa yang dipanggil ‘kiraan pantas’ dijangka memberikan petunjuk yang boleh dipercayai siapa pemenangnya.

‘Pesta Demokrasi’ di negara demokrasi ketiga terbesar di dunia itu bakal menentukan pengganti Jokowi yang menamatkan penggal kedua dan terakhirnya pada Oktober.

Calon presiden dan naib presiden bagi tempoh 2024-2028 akan dipilih pengundi serta sejumlah calon anggota Majlis Permusyarawatan Rakyat (MPR), Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) dan Dewan Perwakilan Daerah (DPD).

Menurut Komisi Pemilihan Umum (KPU) Indonesia, pengundi akan menerima lima kertas undi di Tempat Pemungutan Suara (TPS).

Meskipun mengakui terdapat masalah dari segi logistik, Pengerusi KPU, Hasyim Asy’ari memberi jaminan bahawa semua keperluan akan sampai hingga ke kawasan terpencil mengikut jadual.

Jokowi akan mengundi di Bangunan Lembaga Administrasi Negara, Jalan Veteran No 10, Jakarta Pusat berdasarkan surat undangan daripada Kelompok Penyelenggara Pemungutan Suara KPPS Gambir.

Fokus pastinya terarah pada Pilihan Raya Presiden (Pilpres), yang membabitkan bekas Gabenor Jakarta, Anies Baswedan yang berpasangan dengan Ketua Umum Parti Kebangkitan Bangsa, Muhaimin Iskandar, sebagai calon naib presiden.

Prabowo pula bertanding buat kali ketiga selepas kalah pada 2014 dan 2019 kepada Jokowi dan kini bergandingan dengan anak sulung Jokowi, Gibran sebagai regunya untuk calon naib presiden.

Bekas Gabenor Jawa Tengah Ganjar Pranowo pula bergandingan dengan Mahfud MD, bekas Menteri Koordinator Politik, Undang-undang dan Hal Ehwal Keselamatan.

Sekiranya tiada calon mencapai lebih daripada 50 peratus pada pusingan pertama, pusingan kedua dijadualkan pada Jun dengan hanya dua calon yang menerima undian paling popular.

Pada Pemilihan Umum (Pemilu) kali ini, pengundi muda iaitu generasi Milenium dan Gen Z mewakili 54 peratus daripada jumlah pengundi yang layak seawal usia 17 tahun untuk menunaikan tanggungjawab.

Jumlah pengundi di Jawa paling ramai dan berpengaruh dengan 115.4 juta pengundi dan 454,444 TPS dibuka.

Jawa Barat mempunyai pengundi teramai iaitu 35.7 juta pengundi diikuti Jawa Timur dengan 31.4 juta, Jawa Tengah 28.3 juta, Jakarta 8.25 juta, Banten 8.8 juta dan Yogyakarta dengan 2.9 juta.

Nilam, 21, jurujual di pasar raya di Jakarta Selatan, mahukan calon Pilpres yang memahami aspirasi golongan muda, kerap mendapatkan maklumat mengenai visi dan misi di sosial media.

Nanang, 45, pemandu perkhidmatan pengangkutan, akan meninggalkan ibu negara pada 5 petang hari ini untuk menunaikan tanggungjawab di TPS Cianjur, Jawa Barat.

“Semoga masa depan lebih baik. Anak-anak mendapat akses pendidikan lebih baik, pekerjaan yang berkat dan banyak peluang untuk berniaga,” katanya.

Rini, 52, kerani eksekutif di Jakarta Pusat berkata: “Pemilu kali ini saya rasa biasa saja kerana sudah membuat keputusan, tidak seperti di 2019 yang selalu fikir siapa dan akhirnya ikut naluri.” – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *