BERITA UTAMA

Nazmi satu-satunya calon pengadil Malaysia ke Piala Dunia

PENGADIL dari Malaysia, Muhammad Nazmi Nasaruddin hanya selangkah lagi untuk mencipta sejarah apabila terpilih sebagai salah seorang calon pengadil utama bagi Piala Dunia 2026.

Ia selepas Nazmi dan dua lagi pembantu pengadil iaitu Zairul Khalil Tan dan Arif Shamil Abd Rasid menampilkan prestasi cemerlang di Piala Asia baru-baru ini, sehingga mendapat pengiktirafan daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Nazmi telah dipilih untuk menyertai kursus calon pengadil utama Piala Dunia yang bakal diadakan bermula 25 hingga 29 Februari di Qatar.

Beliau juga akan terus diuji melalui beberapa siri kursus anjuran FIFA dan AFC, termasuk perlawanan-perlawanan anjuran FIFA dan AFC sebagai syarat pemilihan secara merit ke Piala Dunia 2026.

“Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan terus memberi segala bantuan dan sokongan daripada aspek perancangan latihan serta bantuan kepakaran ilmu pengadil kepada trio negara ini agar misi meletakkan Nazmi sebagai pengadil utama dan pertama dari Malaysia di Piala Dunia, kejohanan bola sepak dunia yang berprestij tinggi akan tercapai.

“Datuk Hamidin Mohd Amin selaku Presiden FAM sangat komited dalam usaha ini yang mana sebelum ini tidak pernah ada mana-mana pengadil dari negara ini dipilih sebagai pengadil utama di Piala Dunia,” kata FAM dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada Piala Asia baru-baru ini, Nazmi bersama dua pembantunya itu telah dipilih untuk mengadili perlawanan peringkat kumpulan, Iraq menentang Vietnam dan perlawanan pusingan 16 terbaik, Uzbekistan lawan Thailand. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *